Search This Blog

Tuesday, May 17, 2011

10 ahli Geng Aho tumpas


Dipercayai terbabit 57 kes samun, larikan kenderaan

IPOH: Polis Perak menahan 10 anggota Geng Aho yang dipercayai terbabit melakukan sekurang-kurangnya 57 kes samun menggunakan senjata tajam, pecah rumah dan melarikan kenderaan termasuk yang diseludup ke Thailand.
Semua mereka yang berusia 25 hingga 48 tahun dan mempunyai rekod jenayah, termasuk lima daripadanya pernah dikenakan perintah sekatan di Simpang Renggam, Johor, ditahan di sekitar bandar raya ini sejak 18 April lalu dalam Operasi Pintu/Lejang.
Susulan kejayaan itu, polis turut merampas 11 kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu termasuk masing-masing dua Toyota Camry dan Perdana V6, sebuah Toyota Altis selain dua enjin kereta, 10 jam tangan termasuk satu berjenama Rolex, beberapa batu jed, peralatan elektronik serta pelbagai barangan lain.

Pelbagai senjata tajam seperti parang yang digunakan bagi melakukan jenayah kekerasan terhadap mangsa dan peralatan yang digunakan untuk memotong besi dan mengumpil pagar rumah seperti tabung gas Oxy-Acetylene (OA), alat pemotong dan pemutar skru, turut dirampas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, yang menyifatkan kejayaan itu yang terbesar bagi kontinjennya tahun ini berkata, modus operandi anggota Geng Aho yang semuanya berasal dari sini adalah memecah masuk premis kediaman sebelum mencari kunci kereta dan melarikan kenderaan itu bersama pelbagai barangan lain.

“Sekiranya, pemilik premis terjaga daripada tidur, mereka akan menggunakan senjata seperti parang untuk melakukan jenayah kekerasan dan menyamun mangsa sebelum melarikan kereta dan pelbagai barangan.
"Kereta dicuri dijual kepada rakan jenayah mereka untuk diambil komponennya bagi kegunaan kereta yang terbabit dalam kemalangan, manakala kereta mewah terutama jenis BMW dijual kepada rakan mereka untuk diseludup ke Betong, Thailand.

“Hasil siasatan, kumpulan ini melakukan kegiatan pecah rumah, samun dan curi kenderaan di Perak sejak hujung 2009," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan IPK berkenaan di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, walaupun polis yakin masih ada lagi anggota geng itu yang perlu diburu, tangkapan 10 suspek berkenaan termasuk terakhir seminggu lalu, berjaya menyelesaikan 34 kes pecah rumah dan curi, 17 kes curi kereta dan enam kes samun berkawan tanpa senjata api.

Semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata pihaknya menahan 94 wanita warga China dan Vietnam yang disyaki bekerja pelayan pelanggan.

(GRO) dan melanggar pas lawatan visa dalam Ops Noda di Daerah Manjung dan Kerian pada 23 dan 24 April lalu. 

No comments:

Post a Comment