Search This Blog

Saturday, April 2, 2011

Yazid cedera kereta terbabas



KOTA BHARU - Dua mesyuarat yang perlu dihadirinya terpaksa ditangguhkan apabila Presiden Persatuan Wartawan Melayu (PWM) Malaysia, Datuk Yazid Othman terlibat dalam kemalangan pada 29 Mac lalu.

Dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pasir Puteh berkenaan, beliau yang juga Pengerusi Koperasi Petani dan Nelayan Kelantan Berhad (Kopenel) dan Pengerusi Penerangan Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh mengalami kecederaan di bahagian muka dan dahi.

Yazid berkata, walaupun masih dirawat di hospital, namun beliau masih terkilan kerana tidak sempat menghadiri majlis penting iaitu mesyuarat bersama ketua-ketua Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh pada paginya keesokannya.

Pada sebelah petang pula, beliau sepatutnya memberi taklimat kepada wakil-wakil UMNO Bahagian yang akan merasmikan 117 cawangan UMNO seluruh bahagian Pasir Puteh.

“Sebelum kejadian kemalangan, saya tertidur di tempat bersebelahan pemandu dan tersedar apabila berada di Hospital Gua Musang (HGM).

“Walaupun terkilan kerana tidak sempat menghadiri dua majlis penting, namun saya bersyukur kerana terselamat dan hanya mengalami kecederaan di bahagian muka, dahi, dagu serta kejang di bahagian badan,” katanya semasa ditemui Sinar Harian, di Hospital Pakar Perdana, di sini, semalam.

Sementara itu, Setiausaha koperasi berkenaan yang juga pemandu Discovery Landrover, Tuan Azudin Tuan Mohamad berkata, beliau mengiringi Yazid untuk menghadiri dua majlis penting di Pasir Puteh.

Beliau berkata, semasa kejadian kira-kira jam 11 malam itu berkata, kenderaan yang dinaiki mereka terbabas semasa keadaan hujan.

“Memandangkan keadaan hujan pada malam terbabit, semasa berada di jalan Chegal Perah, Kuala Lipis (sempadan Gua Musang), saya memandu dalam kelajuan sederhana, namun semasa berselisih dengan lori, saya cuba memberhentikan kenderaan, tetapi Landrover berkenaan terbabas.

“Saya kemudian bergegas menyelamatkan Datuk (Yazid) setelah melihat mukanya berlumuran darah dan bernasib baik kerana ada orang kampung di situ yang datang membantu dan bawa beliau ke HGM,” katanya.

Beliau berkata, nasib baik ada kenalan dari Pasir Puteh yang lalu ke tempat kejadian dan kenderaan yang rosak teruk itu dikendalikan orang berkenaan bersama pihak polis peronda.

Menurutnya, Yazid dirawat hampir sehari di HGM dan dihantar ke Hospital Pakar Perdana sehari selepas itu.

Turut hadir melawat Yazid, Pengerusi Tetap UMNO Pasir Puteh, Datuk Jailani Jaafar dan jawatan kuasa UMNO. Isterinya, Datin Norbaya Musa turut berada di sisinya.

No comments:

Post a Comment