Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Warga emas ambil madu maut disengat lebah

JELI: Seorang warga emas yang mengambil madu lebah di hutan Lachang, Kampung Gemang, dekat sini, meninggal dunia selepas sesak nafas akibat disengat lebah, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Awang Jusoh, 70, dari Kampung Gemang, dekat sini, baru memanjat tangga untuk mengambil madu berkenaan selepas membakar sabut kelapa, namun disengat kumpulan lebah berkenaan.

Rakan Awang, Halim Rajab, 38, berkata, dia dan Awang berkunjung ke kawasan berkenaan buat kali kedua selepas berbuat demikian bulan lalu bagi mengambil baki madu lebah ditinggalkan.
“Sebelum disengat lebah, Awang cuba memanjat tangga diikat pada pokok sebelum sekumpulan lebah yang terkena asap sabut kelapa dibakar Awang menyerangnya.

“Awang yang disengat di hidung serta pinggang memberitahu mahu pulang kerana tidak tahan sakit, selain mengadu sesak nafas. Dia beritahu mahu datang semula ambil madu lebah itu pada sebelah malam sebelum rebah dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Jeli,” katanya.

Sementara itu, isteri Awang, Bunga Musa, 65 berkata suaminya menghidap asma, namun ketika keluar mengambil madu lebah itu, keadaannya sihat.
“Ketika keluar bersama rakannya (Halim Rajab), suami sihat walaupun menghidap asma. Dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

“Kehilangannya dirasai kerana suami penyayang dan mengambil berat hal keluarga. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Mayat Allahyarham dituntut keluarganya di Hospital Jeli, kira-kira jam enam petang kelmarin, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Gemang, pagi semalam.
myMetro | Warga emas ambil madu maut disengat lebah

No comments:

Post a Comment