Search This Blog

Wednesday, April 13, 2011

Tindakan pantas polis gagalkan peragut berijazah



TELUK INTAN 12 April - Tindakan pantas dan berani dua anggota polis berjaya menggagalkan percubaan seorang lelaki meragut seorang wanita di Jalan Sultan Abdullah semalam.
Kedua-dua anggota polis yang ketika itu sedang meronda menaiki motosikal terus mengejar suspek sebaik sahaja mendengar jeritan mangsa.
Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Ismail dari Taman Desa Bakti, dekat sini memberitahu, dia baru keluar dari sebuah kedai runcit apabila melihat tiga motosikal ditunggang laju seperti sedang berlumba.
"Saya ingatkan mat rempit tetapi setelah melihat salah seorang daripada lelaki berkenaan memakai pakaian seragam polis, baru saya sedar polis sedang menangkap penjenayah," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan polis selepas terjatuh ketika melalui satu selekoh.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, suspek berusia 34 tahun itu telah membuang beg yang diragut sebaik sahaja menyedari dikejar polis.
"Suspek berjaya diberkas selepas jatuh di selekoh berhampiran Kampung Banjar. Sebelum itu, dia telah membahayakan pengguna yang melalui Jalan Sultan Abdullah, Jalan Maharaja-Lela dan Jalan Kampung Banjar dan Jalan Changkat Jong," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui beberapa keping kad pengenalan dipercayai milik mangsa ragut, alat menghisap syabu, pemutar skru, wayar kabel komputer dan pemacu cakera.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Jalan Maharaja-Lela dekat sini dan positif dadah itu dipercayai telah melakukan lebih 13 jenayah ragut.
Katanya, suspek yang juga pemegang ijazah kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ragut.

No comments:

Post a Comment