Search This Blog

Sunday, April 3, 2011

Tiga keluarga nyaris maut



SUNGAI SIPUT – Tiga keluarga yang sedang nyenyak tidur nyaris maut apabila rumah didiami mereka terbakar dalam satu kejadian di Taman Tun Sambathan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, kebakaran dikatakan berpunca daripada rumah yang berada di bahagian tengah sebelum merebak ke rumah bersebelahan.

Salah seorang mangsa, Nabisah Mohd Kassim, 71, berkata, dia mula menyedari rumahnya terbakar apabila terdengar jiran menjerit dari luar dan menyuruhnya segera meninggalkan rumah.

Menurutnya, ketika kejadian dia tinggal seorang diri.

“Saya terpinga-pinga apabila mendengar bunyi bising dari luar dan terus keluar rumah sebelum melihat api sudah marak, saya hanya sempat membawa bersama kad pengenalan sahaja, namun saya tetap bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang lagi mangsa, S Mariappan, 51, berkata, dengan bantuan jiran, dia sempat menyelamatkan sebahagian barang berharga apabila menyedari rumah mula terbakar.

“Walaupun tidak terbakar sepenuhnya tetapi saya jangkakan banyak kerosakan telah berlaku,” katanya.

Seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira jam 2.05 pagi.

Ketua Balai Bomba Sungai Siput, Mohamad Idris berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut dibantu sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

“Kita mengambil masa hampir 15 minit untuk mengawal kebakaran, punca dan kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Kepantasan anggota bomba dalam mengawal kebakaran berjaya menghentikan api dari terus merebak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam, berkata, bantuan segera akan disalurkan kepada semua mangsa dalam masa terdekat.

“Kita berharap keluarga terlibat dapat bersabar dan dengan bantuan yang diberikan itu, mereka boleh menggunakannya untuk membeli barangan keperluan sebelum bantuan lain disalurkan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment