Search This Blog

Friday, April 15, 2011

Tetak pemandu bas kerana cemburu



JOHOR BAHRU - Seorang juruelektrik di hadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam di atas pertuduhan mencederakan pemandu bas yang didakwa mempunyai hubungan terlarang bersama isterinya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, Hafizzudin Mohamad Khalid, 21, bersama dua rakan lain yang masih bebas didakwa menyebabkan kecederaan pada bahagian mata, kepala dan badan Mohd Taib Kassim, 25, di Bukit Indah, di sini, jam 9.15 malam, 22 Mac lalu.

Tertuduh dikatakan menggunakan senjata yang berkemungkinan boleh menyebabkan kematian iaitu sebilah parang ke atas mangsa.

Hafizzudin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Tertuduh yang berasal Gelang Patah hanya mengangguk sebagai tanda faham pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hafizah Johor Ariff Johor.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam bela.

Kes akan disebut semula pada 18 Mei ini berikutan Mahkamah masih belum menerima laporan perubatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dikatakan menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mangsa dengan alasan untuk bertemu terlebih dahulu menggunakan telefon bimbit isterinya di hadapan sebuah bank di Bukit Indah.

Hafizzudin yang dipercayai terlalu cemburu, bersama dua rakannya kemudian datang ke arah Mohd Taib sebelum menetak menggunakan parang sebelum melarikan diri sebaik sahaja melihat mangsa tidak bermaya.

Melihat dirinya tercedera, Mohd Taib memandu sendirian ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, bagi mendapatkan 10 jahitan di kepala dan menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi membuat laporan.

No comments:

Post a Comment