Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Tak serik 7 kali diserbu

CHERAS: Walaupun sudah tujuh kali diserbu pihak berkuasa, pemilik sebuah premis menjual cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD) haram bersikap ‘kebal’ serta masih menjalankan perniagaan.
Bagaimanapun, premis terbabit di Bandar Sri Permaisuri, di sini, diserbu buat kali kelapan oleh Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Serbuan dilakukan kira-kira jam 5 petang itu menemui lebih 1,800 CD dan DVD belum diluluskan Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF).
Ketua Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Kuala Lumpur, Nor Aziah Abdullah, berkata ketika serbuan, seorang lelaki dipercayai penjaga premis terbabit memasukkan CD dan DVD ke dalam bungkusan untuk dijual.

“Selepas intipan dilakukan, kami menyerbu premis itu. Lelaki terbabit yang terkejut gagal meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan, kami mendapati pemilik premis itu mengubah tempat simpanan CD dan DVD pelbagai tajuk termasuk lucah di bawah kaunter jualan,” katanya.
Difahamkan, premis terbabit dikesan tidak mempamerkan papan tanda perniagaan.

Nor Aziah berkata, lelaki berusia 25 tahun dan warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Walaupun sudah tujuh kali diserbu, pemilik premis itu tidak serik dengan terus menjalankan perniagaan terlarang itu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.
myMetro | Tak serik 7 kali diserbu

No comments:

Post a Comment