Search This Blog

Thursday, April 7, 2011

Syarikat insurans setuju pulang RM12,986.60 kepada lima guru


TERPEDAYA! Pada mulanya, mereka ditawarkan peluang pelaburan dalam bon didakwa diurus oleh Uni.Asia Life Assurance Bhd. (Uni.Asia) iaitu anak syarikat DRM-HICOM Bhd., tetapi selepas pembayaran sebanyak RM12,986.60 dibuat, rupa-rupanya ia adalah caruman bagi polisi insurans.

Lebih malang lagi, kelima-lima guru sekolah menengah dari Bachok berusia 40-an itu mendakwa turut diperdaya oleh ejen syarikat terbabit apabila terpaksa membayar caruman sehingga 25 tahun berbanding tempoh dinyatakan hanya 10 tahun.
Akibat tidak berpuas hati dengan penipuan ejen tersebut, kelima-lima guru terbabit memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini bagi menuntut kembali wang yang telah 'dilaburkan'.
Dalam prosiding di hadapan Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak, 'mangsa' pertama, Sakinah Yahya memberitahu, dia telah didatangi seorang ejen syarikat insurans terbabit pada Ogos tahun lalu yang memberitahu DRB-HICOM, telah mengeluarkan bon bernilai RM20,000 dengan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).
''Ejen itu menawarkan kepada saya membeli bon tersebut yang dakwanya diuruskan oleh Uni.Asia dengan bayaran secara ansuran dan saya memilih membayar tunai sebanyak RM1,200 selama enam bulan pertama,'' katanya.
Bagaimanapun dakwanya, selepas tiga bulan, dia mendapati ia bukannya dana pelaburan tetapi polisi insurans nyawa yang jika diketahui, awal-awal lagi dia akan menolaknya kerana telah mempunyai polisi insurans lain.
''Saya juga kesal kerana telah mengajak suami yang menghidap sakit buah pinggang dan kawan-kawan lain turut serta 'melabur' kerana menyangka ia telus,'' ujarnya yang mengemukakan tuntutan wang RM2,616.20 dipulangkan kepadanya selain wang RM2,701 milik suaminya, Mat Yassin M. Noor.
Turut mengemukakan tuntutan ialah Norzaharani Awang membabitkan bayaran sebanyak RM2,534.20, Zaiton Kadir (RM2,571.50) dan Syarifah Awang (RM2,563.70).
Reihana bagaimanapun menegur tindakan kumpulan guru terbabit yang bersetuju menyerahkan sejumlah wang kepada ejen syarikat insurans berkenaan walaupun tidak mengetahui status dan kesahihannya.
''Sebagai golongan profesional, adalah wajar kalian menyemak serta mendapatkan kesahihan mengenai pelaburan yang ditawarkan itu sebelum menyerahkan wang dan bersetuju menyertainya,'' katanya.
Syarikat Uni.Asia yang enggan memanjangkan kekeliruan bagi menjaga nama baiknya, bagaimanapun bersetuju memulangkan kesemua wang yang dituntut dalam tempoh 30 hari sebagaimana diputuskan oleh tribunal.
Wakil syarikat itu juga memaklumkan bahawa bon tersebut memang dikeluarkan oleh DRB-HICOM tetapi ia telah 'dipergunakan' oleh ejen terbabit semata-mata untuk menarik pelanggan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment