Search This Blog

Friday, April 29, 2011

Suami isteri edar heroin


GEORGETOWN: Sepasang suami isteri yang dipercayai mendalangi sindiket pengedaran dadah jenis heroin ditahan dalam serbuan di Bukit Mertajam, kelmarin.
Pasangan berusia 30-an itu ditahan bersama-sama dua lagi rakan termasuk seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun.

Serbuan kira-kira jam 3.25 petang itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN negeri hasil maklumat awam yang diterima.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, dua lelaki termasuk warga emas ditahan di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Alma, dekat Bukit Mertajam.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah kereta Proton Wira dinaiki kedua-dua lelaki berkenaan membawa kepada penemuan 4.7 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM250,000.

Katanya, siasatan awal juga mendapati warga emas itu mempunyai rekod jenayah kesalahan lampau berkaitan dadah.


“Hasil siasatan lanjut, sebuah rumah di kawasan Bukit Mertajam turut diserbu polis dan menahan pasangan suami isteri itu.

“Pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah berkenaan turut menemui wang tunai sebanyak RM136,265, beberapa mata wang asing termasuk Amerika, China, Australia dan Thailand berjumlah RM1,234 serta barang kemas.
“Kesemua barangan yang dirampas termasuk kereta Proton Wira dianggarkan bernilai RM174,140 yang kemudiannya disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Abd Rahim berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti aktiviti sebenar mereka termasuk dalang sindiket.

Beliau berkata, siasatan mendapati warga emas itu bekerja sebagai penjaga kedai komputer manakala rakannya, seorang peniaga manakala pasangan suami isteri berkenaan pula tidak bekerja.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati mandatori.

“Kesemua mereka ditahan reman sehingga 4 Mei depan untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment