Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Suami isteri ditahan



KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan sepasang suami isteri bersama 199 metamphetamine (pil kuda) dan revolver .38 dalam operasi di kawasan ladang getah, Laloh, Kuala Krai, baru-baru ini.

Turut ditahan bersama pasangan 20 dan 37 tahun itu, seorang lagi rakan mereka, lelaki berusia 39 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asistan Komisioner Lai Yong Heng berkata, semua suspek itu ditahan pada jam 11.30 malam, 16 April lalu, hasil maklumat awam.

Menurutnya, dalam operasi jam 6.30 petang itu, sepasukan polis Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, mengejar sebuah kereta dinaiki dua lelaki dan seorang wanita.

Menurutnya, mereka dipercayai terlibat kes yang mendatangkan kecederaan parah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, 13 Februari lalu.

“Suspek merempuh dua kereta peronda polis, sebelum melarikan diri ke ladang getah di Bukit Gong Genor.

“Ketika serbuan, polis merampas lima butir peluru hidup, satu bilah pedang samurai, satu sarung pistol, satu bilah parang, satu uncang kecil berisi dua butir peluru hidup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK), semalam.

Yong Heng berkata, semua suspek dipercayai berasal dari Dabong, Kuala Krai dan dua suspek lelaki itu didapati positif dadah.

“Polis masih menjalankan siasatan berkenaan tujuan sebenar suspek memiliki senjata berbahaya.

“Semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat), Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 39 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

No comments:

Post a Comment