Search This Blog

Wednesday, April 13, 2011

Sikap pemuda prihatin selamatkan jiran

PETALING JAYA 12 April - Sikap prihatin seorang pemuda menghubungi polis setelah mengesyaki kelakuan mencurigakan tiga lelaki di rumah jirannya, berjaya menyelamatkan lima sekeluarga daripada menjadi mangsa samun, awal pagi ini.
Pemuda berusia 20-an yang hanya ingin dikenali sebagai Sidiq itu, mengesan sebuah kereta Honda Civic dinaiki tiga lelaki berhenti di hadapan rumah jirannya, kira-kira pukul 3 pagi.
Dua daripadanya lalu keluar dari kereta dan meninjau kawasan berhampiran sebelum salah seorang memanjat masuk ke dalam rumah jirannya.
Sidiq memberitahu, semasa kejadian dia ingin menutup tingkap rumah namun terlihat kelibat tiga lelaki tersebut di dalam kereta.
"Seorang daripada mereka kemudian dilihat memanjat pagar rumah sebelah dan saya terus menghubungi Balai Polis Damansara.
"Kurang lima minit, sepasukan anggota polis mengepung rumah itu," katanya yang ditemui pemberita di rumahnya di Seksyen SS20, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis berjaya menahan suspek yang memandu kereta dan seorang lagi rakannya, ketika bersembunyi di dalam kenderaan terbabit.
"Seorang lagi suspek sempat melarikan diri. Keluarga terbabit hanya mengetahui peristiwa itu setelah loceng rumah mereka ditekan beberapa kali oleh polis.
"Honda Civic digunakan suspek adalah kereta dilaporkan hilang di Jalan Tun Razak beberapa hari lalu," katanya ketika ditemui pemberita semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada Sidiq di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment