Search This Blog

Tuesday, April 26, 2011

Serangan siber terus meningkat




PENGGUNA dan perniagaan di Malaysia harus mengambil langkah proaktif dalam 
melindungi maklumat dan data mereka di dunia siber. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Laporan Ancaman Keselamatan Internet Jilid 16 Symantec Corp. (Symantec) bagi tahun lalu menunjukkan ancaman baharu besar-besaran berjumlah lebih 286 juta di seluruh dunia.
Ini termasuk kes kecurian harta intelek, memancing data dan serangan malware beserta dengan beberapa perubahan besar-besaran dalam landskap ancaman siber.
Naib Presiden Symantec bagi Rantau Asia Selatan, Eric Hoh berkata, bilangan ini akan terus meningkat.
"Ini akan mendorong penjenayah siber memperhalusi teknik serangan mereka untuk mencuri data-data dan harta intelek berharga, yang boleh mereka jual pada harga lumayan dalam ekonomi gelap," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan hasil laporan itu di sini semalam.
Tahun lalu, terdapat beberapa bentuk serangan yang menyasarkan syarikat dagangan awam, badan-badan korporat multinasional dan agensi kerajaan, di samping beberapa syarikat kecil.
Laporan itu juga menarik perhatian kepada pertumbuhan berterusan laman rangkaian sosial sebagai platform tebaran serangan.
"Kebanyakannya menyerang individu bagi mendapatkan maklumat peribadi mereka, manakala serangan sasaran berprofil tinggi, cuba untuk mencuri harta intelek atau menyebabkan kerosakan fizikal.
"Satu daripada teknik serangan utama yang digunakan di laman-laman rangkaian sosial melibatkan penggunaan pelokasi sumber seragam (URL)," katanya.
Tahun lalu ujarnya, penyerang memuatkan berjuta-juta pautan URL ini di laman rangkaian sosial untuk memperdaya mangsa agar terjebak dengan serangan memancing data dan malware ini, sekali gus meningkatkan kadar jangkitan.
"Pengguna dan perniagaan di Malaysia perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk melindungi dan menguruskan maklumat mereka daripada risiko keselamatan yang amat banyak ekoran percambahan peranti mudah alih dan perangkaian sosial," tegas Hoh. - Bernama

No comments:

Post a Comment