Search This Blog

Saturday, April 2, 2011

Sebak tengok mayat anak



KAMPUNG RAJA - Misteri kehilangan seorang pemuda yang me-ngalami masalah mental di Kampung Tok Tor dekat Jertih sejak Jumaat lalu terungkai, selepas mayatnya dijumpai tersangkut pada kayu di sebatang sungai Kampung Kuala Kenak tidak jauh dari rumahnya, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Nor Zainy Mohd Noor berkata, mayat Muhammad Azrim Awang Kechik, 20, dijumpai sendiri oleh bapanya jam 10.10 pagi semalam, tujuh hari selepas dia keluar dari rumah dengan menunggang basikal.

Menurutnya, keluarga mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa pada 27 Mac lalu di Balai Polis Jertih selepas usaha mencari mangsa di rumah saudara mara gagal menemuinya.

“Sehari selepas dia tidak pulang rumah, abang mangsa menemui basikal yang dinaiki adiknya itu, ditinggalkan di atas jambatan simen di kampung Kuala Kenak,” katanya.

Nor Zainy berkata, sebelum ini keluarga mangsa tidak mengesyaki mangsa lemas di sungai berkenaan dan mereka yakin mangsa tidak turun ke sungai kerana mangsa memang selalu meninggalkan basikal sedemikian.

Beliau berkata, mayat mangsa yang sudah reput ditemui dalam keadaan terlentang dan tersangkut pada kayu di sungai berkenaan.

Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut membantu membawa mangsa ke tebing dengan sebuah bot sebelum mayat dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

“Mangsa dipercayai mati sekitar enam hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang reput dan punca kematian disahkan akibat lemas serta hasil siasatan mendapati kematian mangsa tidak ada unsur jenayah,” katanya.



Hancur luluh tengok mayat anak



JERTIH – Hancur luluh hati seorang bapa apabila menemui sendiri mayat anaknya dalam keadaan menyedihkan tersangkut pada semak di dalam Sungai Kuala Kenak dekat Gong Mak Som Alor Lintah, semalam.

Lebih menyayat hati, tubuh anak lelakinya itu, Muhammad Azrim Awang Kechik sudah reput keseluruhan badan ditemui terapung di permukaan sungai itu dengan lengkap berpakaian.

Awang Kechik Othman, 58, berkata, dia sebak sebaik melihat kelibat objek terapung dan tersangkut pada kayu itu adalah anaknya berdasarkan pakaian yang dipakainya.

“Keadaan dia amat menyayat hati dan sudah reput malah bahagian perut sudah kosong,” katanya sedih.

Awang Kechik berkata, sebaik menemui mayat anaknya, dia meminta saudaranya menghubungi polis dan memberitahu keluarga.

Katanya, sudah hampir seminggu anaknya hilang tetapi hanya malam kelmarin tergerak di hatinya untuk mencari di sungai itu iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat basikal anaknya ditemui pada 26 Mac lalu dan tiga kilometer dari rumahnya.

“Saya menaiki sampan bersama dua yang lain kira-kira jam 7 pagi semalam mencari di kedua-dua tebing anak Sungai Besut itu dan kira-kira jam 10.10 pagi, kami menemui mayatnya,” katanya yang ditemui di pekarangan bilik mayat semalam.

Awang Kechik berkata, anak keenam daripada 10 beradik itu keluar rumah kira-kira jam 3 petang lalu menunggang basikal dan terus tidak pulang ke rumah.

Selalunya jika keluar, dia akan pulang ke rumah sebelum malam tetapi kali itu dia langsung tidak pulang.

Katanya, sebelum ini pernah dia tidak pulang ke rumah sehingga tiga hari tetapi selalunya dia pergi rumah kakaknya sama ada Kampung Gong Bayor atau di Semerak, Pasir Putih, Kelantan.

Bagaimanapun, kehilangan Muhammad Azrim kali ini merisaukan seisi keluarga kerana walau merata tempat dicari tetapi tidak ditemui.

“Dia juga sering meninggalkan basikal di serata tempat walaupun tidak rosak kemudian berjalan kaki ke tempat yang diingini,” katanya.

Menurutnya, anaknya mengalami masalah mental ketika di Tingkatan Lima bermula dengan meracau-racau sebelum keadaannya menjadi bertambah teruk.

No comments:

Post a Comment