Search This Blog

Saturday, April 2, 2011

Sanggup terjun bangunan



RENGIT - Seorang daripada tiga lelaki cedera setelah terjun dari tingkat atas rumah dua tingkat, di Taman Cahaya Purnama, Peserai apabila menyedari sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat membuat serbuan ke kediaman berkenaan.

Polis membuat serbuan setelah mendapat maklumat rumah terbabit dijadikan pusat pengedaran dadah secara kecil-kecilan di kawasan sekitar Peserai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, serbuan dilakukan pada 30 Mac lalu, jam 5.30 petang dan menahan tiga lelaki berumur sekitar 22 hingga 35 tahun.

Menurutnya, semasa serbuan terbabit juga ada cubaan melarikan diri apabila dua daripada tiga lelaki berkenaan memecah siling dan bumbung rumah tetapi gagal atas kecekapan pasukan polis dan bantuan awam.

“Dalam serbuan berkenaan, polis berjaya menemui beberapa jenis dadah yang dipercayai sudah siap dipaket untuk edaran kawasan sekitar dan jumlah dadah yang berjaya dirampas ialah RM2,500.

“Dadah berkenaan adalah 15 paket lut sinar dadah jenis heroin (48.3 gram); satu paket lut sinar daun kering ganja (0.82 gram), lapan biji pil Eramin 5 dan satu paket hablur syabu (0.2 gram),” katanya pada sidang media di Balai Polis Rengit, semalam.

Beliau berkata, salah seorang suspek berkenaan mempunyai lima rekod kesalahan lampau termasuk empat kes jenayah dan satu kes berkaitan dadah selain sememangnya dikehendaki polis sebelum ini.

Adnan berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan ketiga-tiga mereka yang terdiri daripada seorang peniaga, pemandu lori dan penganggur ini akan dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Beliau berkata, turut dijumpai semasa pemeriksaan menyeluruh di rumah dua tingkat berkenaan ialah alat memproses dadah yang dipercayai digunakan oleh kumpulan suspek ini.

“Semua mereka ini akan direman sehingga 6 April ini, juga dipercayai kumpulan pengedar yang aktif sebelum ini dan ia kembali aktif apabila salah seorang yang menjalani hukuman sebelum ini telah dibebaskan.

“Polis mengucapkan terima kasih dengan segala aduan dan sumbangan orang ramai dalam membantu mengesan dan menjalankan siasatan sehingga tertangkap suspek berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment