Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

'Rumah penjagaan' kanak-kanak jadi pusat penderaan seksual, fizikal?



KUALA LUMPUR 20 April — Berselindung di sebalik nama rumah penjagaan kanak-kanak, pemiliknya seorang lelaki berusia 60-an yang menggelar dirinya sebagai 'bapa' dipercayai menjadikan kanak-kanak yang kebanyakannya hilang tempat bergantung sebagai mangsa dera.
Pusat penjagaan kanak-kanak yang beroperasi secara haram di Puchong itu, dipercayai dihuni kira-kira 30 kanak-kanak, termasuk dua beradik perempuan berusia 13 dan 14 tahun.
Malang buat adik-beradik itu, kerana mereka dikatakan bukan sahaja didera secara fizikal, malah warga emas itu dikatakan menjadikan mereka sebagai pemuas nafsu lelaki-lelaki yang tidak mereka kenali.
Kanak-kanak lain pula dipercayai dipaksa menjual barang-barang seperti peralatan sembahyang dan melihat raut muka serta susuk tubuh kanak-kanak itu, orang ramai tentu mudah bersimpati dan terus menghulurkan wang tanpa berfikir panjang.
Perkara tersebut dibongkar oleh Pemuda MIC hari ini setelah mendapat aduan daripada penduduk setempat.
Setiausahanya, C. Sivarraajh berkata, selepas seminggu membuat pemantauan, beliau membawa perkara itu ke pengetahuan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, dengan bantuan JKM dan polis, pusat penjagaan itu diserbu minggu lalu dan ketika itu hanya lapan kanak-kanak berada di pusat tersebut sementara yang lain ke sekolah.
"Usaha untuk memindahkan kesemua kanak-kanak itu menghadapi kesukaran apabila segelintir daripada ibu bapa kanak-kanak itu membuat kecoh, kononnya mereka menghantar anak-anak mereka secara sukarela," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MIC di sini, hari ini.
Tambah Sivarraajh lagi, hampir kesemua kanak-kanak yang ditinggalkan di pusat penjagaan tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen, termasuk sijil kelahiran.
Menurutnya, beberapa kanak-kanak di pusat penjagaan itu mendakwa, mereka dibelasah serta diperlakukan seperti binatang.
"Saya sendiri melihat kesan-kesan lebam di badan serta tangan kanak-kanak terlibat," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta JKM dan polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab, termasuk menutup pusat penjagaan itu serta-merta.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment