Search This Blog

Wednesday, April 20, 2011

Rugi hampir RM100,000



PENANTI – Tujuh sekeluarga di Kampung Pelet Mukim 5, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami musnah sama sekali dalam satu kebakaran, lewat petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Mohd Rodhi Ishak, 53, tiada di rumah kerana menjaga isterinya, Che Amah Awang,53, yang terlantar di Hospital Bukit Mertajam (HBM) akibat penyakit strok bersama anak bongsu.

Menurutnya, hanya anak sulung, Muhammad Rizal, 28, dan Muhamad Akbar, 22, berada di rumah ketika itu.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak bongsu yang menerima panggilan daripada jiran mengatakan rumah kami terbakar.

“Saya bergegas pulang selepas itu, namun, ketika sampai api sudah marak dan tiada apa dapat diselamatkan lagi. Semua barang termasuk dokumen penting, barang kemas isteri dan wang tunai yang juga duit khairat kematian berjumlah hampir RM7,000 turut terbakar,” katanya yang menganggarkan jumlah kerugian hampir RM100,000.

Mohd Rodhi berkata, isterinya turut pengsan di hospital selepas terdengar perbualan antara dia dan anak bongsunya mengenai apa yang berlaku.

Sementara itu, anak Mohd Rodhi, Muhamad Akbar, 22, berkata, api dilihat dari arah bilik kedua di bahagian bawah rumah.

Jelasnya, kejadian berlaku sangat pantas dan tidak sempat untuk menyelamatkan barang di dalam rumah.

Ketika kejadian, dia baru hendak melelapkan mata selepas pulang dari hospital melawat ibunya sekitar jam 6.30 petang.

“Saya rasa mengantuk dan hendak tidur sebentar sebelum keluar bekerja. Tiba-tiba, saya terasa amat panas dan bangun untuk membuka kipas. Ketika itu, saya melihat api sedang membakar rumah, lalu keluar menyelamatkan diri. Sementara, abang sulung sudah berada di luar.

“Saya cuba untuk masuk semula ke dalam rumah mengambil barang penting, tetapi, tidak sempat kerana api sangat marak,” katanya.

Dia berkata, tidak ketahui punca sebenar hingga boleh menyebabkan kebakaran kerana dia sudah menutup kesemua suis sebelum keluar untuk melawat ibunya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Mohd Salleh Man meluangkan masa mengunjungi keluarga berkenaan, malam kelmarin.

Beliau ketika ditemui meminta keluarga berkenaan bersabar dengan musibah yang menimpa dan akan berusaha untuk mendapatkan bantuan bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan.

Selain itu, keluarga berkenaan turut menerima bantuan segera daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Urus Zakat (PUZ). Manakala, bantuan daripada Tabung Bencana Tuan Yang Terutama (TYT) melalui Pejabat Daerah pula akan diterima dalam sedikit masa lagi.

No comments:

Post a Comment