Search This Blog

Tuesday, April 26, 2011

Rogol: Dijel lapan tahun penjara, tiga sebatan



KOTA BHARU – Tempoh hukuman penjara seorang lelaki bersabit kesalahan merogol seorang gadis bawah umur dua tahun lalu, ditambah daripada lima kepada lapan tahun penjara serta dikenakan tiga sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya akibat tidak berpuas hati dengan hukuman yang diputuskan terhadap Mohd Faizal Mohd Yusof di Mahkamah Sesyen, sebelum ini.

“Jika dibandingkan usia kamu 24 tahun sangatlah jauh berbeza dengan mangsa yang hanya berusia 14 tahun.

”Tidak ada sebab untuk kamu berasa kekurangan dalam melakukan hubungan seks kerana kamu sudah pun mempunyai isteri dan anak,” katanya.

Menurutnya, walaupun tertuduh menjadikan mangsa sebagai teman wanita tetapi umurnya di bawah 16 tahun, maka perbuatan itu dikira merogol walaupun secara rela atau sebaliknya.

Sebelum ini, pada 27 Mei tahun lalu, Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Mohd Faizal selepas didapati bersalah merogol mangsa yang baru berusia 14 tahun 9 bulan, ketika di hari kejadian, 16 Mei 2009.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa dirogol di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Bukit Mas, Tanah Merah, tarikh berkenaan.

Lelaki yang kini berusia 26 tahun itu bersalah dan disabitkan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Rayuan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof.

No comments:

Post a Comment