Search This Blog

Thursday, April 7, 2011

Polis buru pencuri motosikal

SH


KULIM - Polis memburu seorang lelaki yang terlibat dalam beberapa kejadian mencuri motosikal di sekitar kawasan Kulim.

Terkini suspek mencuri sebuah motosikal Honda C70 berwarna biru yang dilaporkan hilang di hadapan sebuah kedai komputer di jalan Mini Stadium Keladi.

Mangsa berusia 21 tahun dalam laporannya menyatakan pada 29 Mac lalu dia meletakkan motosikalnya di hadapan premis itu kira-kira jam 10 pagi.

Kira-kira jam 6.30 petang apabila dia keluar dari kedai itu, dia mendapati motosikalnya sudah tiada dipercayai dicuri.

Menurut jurucakap polis, polis dapat mengesan suspek melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang di pasang di hadapan kedai itu.

Katanya, polis mempercayai motosikal mangsa dicuri kira-kira jam 10.41 pagi berdasarkan masa yang tercatat di CCTV.

“Polis mengenal pasti suspek terlibat. Dia seorang lelaki dipercayai berbangsa India, rambut di bahagian atas tengah berwarna putih. Bentuk badan kurus dan tinggi. Suspek ini dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian curi motosikal di sekitar Kulim. Bagi mereka yang ternampak suspek sila hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, suspek sering dilihat berlegar di sekitar kawasan Kulim.

Menurutnya, beliau yakin polis dan PPKM akan berjaya menahan suspek tidak lama lagi.

“Melihatkan dari imej yang ada pada CCTV, saya yakin pernah terserempak dengan suspek. Saya akan memaklumkan kepada lebih hampir 800 ahli PPKM di Kulim untuk memantau suspek. Sekiranya suspek ditemui, PPKM akan terus menghubungi polis. Sehingga ini beberapa perlakuan jenayah yang berlaku di Kulim berjaya dikurangkan tetapi gejala mencuri motosikal masih berlaku.

“PPKM akan memberikan komitmen penuh kepada polis untuk memastikan suspek ditahan. Saya dimaklumkan indeks jenayah Balai Polis Kulim juga menurun dengan banyak. Ini menunjukkan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dengan polis penting untuk memastikan perlakuan jenayah dapat ditangani,” katanya.

No comments:

Post a Comment