Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Petani rugi RM170,000



BERIS PANCHOR – Tiga sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan kerugian dianggarkan RM170,000 apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran kira–kira jam 11.30 pagi semalam.

Mangsa, Yusof Dollah, 66, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Senah Nor, 63, dan anaknya, Mohd Nikmatullah, 24, berada di kebun sayur beberapa ratus meter dari rumahnya.

Kira- kira jam 11.30 pagi, dia terlihat asap hitam berkepul di udara dari arah kediamannya dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku.

“Apabila melihat asap tebal menyelubungi ruang udara, pakcik segera pulang ke rumah dan melihat api sedang marak memamah setiap inci rumah kami.

“Semua kerugian kira-kira RM170,000 termasuk wang, barang kemas isteri saya dan segala peralatan perabot, peralatan elektrik dan sebuah motosikal,” katanya kepada: Sinar Harian:, semalam.

Menurutnya, anak saudaranya mendengar satu letupan kuat di rumahnya dan dia terus menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok.

Sinar Harian difahamkan, Yusof dan keluarganya mendiami rumah tersebut sejak 30 tahun lalu.

Namun, Yusof bersyukur kerana semua ahli keluarganya tiada di rumah ketika kejadian.

Difahamkan keluarga terbabit akan menumpang di rumah adiknya yang berhampiran sementara waktu.

Sementara itu, Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Nordin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 11.33 pagi dan kemudian bergegas ke tempat kejadian bersama 14 anggota dari dua buah balai iaitu Balai Bomba Bachok dan Balai Bomba Pengkalan Chepa.

”Sejurus tiba, rumah kayu berkenaan sudah hangus sepenuhnya. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku disebabkan kebanyakan penghuni keluar bekerja.

”Punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment