Search This Blog

Friday, April 29, 2011

Penoreh getah dijel



KOTA BHARU – Tindakan seorang penoreh getah yang meragut rantai leher seorang wanita di Pasir Puteh, dua minggu lalu menerima padah apabila Mahkamah Sesyen, di sini menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun terhadapnya, semalam.

Bapa dua anak itu turut dikenakan empat kali sebatan rotan oleh Hakim Rofiah Mohamad sejurus menerima pengakuan salahnya selepas pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa mahkamah.

Jailani Johari, 40 bersalah dan disabitkan dengan kesalahan merompak Siti Hafisah Rolizan, 20 dengan meragut rantai lehernya bernilai RM5,000, 15 April lalu.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa bersama adik lelakinya yang berusia 11 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki motosikal menuju ke Alor Pasir sebelum dihimpit motosikal tertuduh.

Tertuduh bertindak meragut rantai leher yang dipakai mangsa menyebabkan beliau menarik tangan tertuduh sehingga kedua-dua motosikal mereka terjatuh.

Siti Hafisah yang memukul tertuduh secara bertubi-tubi diacukan sebilah pisau sebelum dia beredar dari tempat kejadian.

Kedua-dua adik-beradik itu dibantu orang ramai dan dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh serta disahkan mengalami luka di leher, lengan dan lulut.

Dalam prosiding semalam, Hakim Rofiah menilai alasan tiada keperluan barang dapur dan anak sakit yang diberitahu tertuduh sebagai satu perkara yang remeh.

“Jika saya mengambil kira alasan itu mudahlah semua orang melalukan jenayah apabila keadaan hidup susah sikit lalu bertindak senang-wenang meragut harta orang lain, merompak dan mencuri,” katanya.

No comments:

Post a Comment