Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Pengusaha feri tidak kena caj lagi


Isu dihalang berlabuh di jeti Pulau Redang dijangka selesai


KUALA TERENGGANU: Selepas feri dihalang berlabuh di jeti pelancongan Pulau Redang berikutan bantahan penduduk, Sejahtera Ferry Services Sdn Bhd merumus jalan damai dengan memutuskan tidak mengenakan sebarang caj, tetapi kawalan dibuat terhadap barangan penumpang bagi mengelak feri melebihi had muatan.
Keputusan untuk tidak mengenakan sebarang caj ke atas barangan keperluan itu hanya berbentuk sementara menunggu keputusan mesyuarat membabitkan pengurusan syarikat diberi kontrak mengendalikan perkhidmatan oleh Berjaya Redang Beach Resort, penduduk kampung dan Jabatan Laut yang dijangka diadakan akhir bulan ini atau selewat-lewatnya pertengahan bulan depan.
Penolong Pengurus Operasi Sejahtera Ferry Services Sdn Bhd, Suzana Mohamad, berkata barang keperluan harian itu perlu dikawal bergantung kepada jumlah penumpang bagi mengelak kejadian tidak diingini, termasuk karam ketika dalam perjalanan berikutan feri melebihi had muatan.

"Jika penumpang penuh, kita akan kawal muatan barang dan tidak mengenakan caj, tetapi hanya dibenarkan membawa barangan tidak melebihi 20 kilogram (kg), jika barangan dibawa berlebihan penumpang diminta memberi kerjasama meninggalkan barang di pejabat dan kita akan uruskan penghantaran menggunakan feri lain.

"Walaupun kita mempunyai empat feri merangkumi Sejahtera Satu yang boleh memuatkan 163 penumpang, Sejahtera Tiga (239), Sejahtera 15 (78) dan Sejahtera 16 (102), tetapi kawalan barangan perlu dilakukan bertujuan mengelakkan lebih muatan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Suzana berkata demikian sebagai mengulas tindakan penduduk Kampung Baru Pulau Redang yang berhimpun secara aman tidak membenarkan feri berlabuh menggunakan jeti pelancongan di Pulau Redang, termasuk untuk menurunkan penumpang terutamanya pelancong, kelmarin.
Tindakan itu dilakukan penduduk berikutan pengurusan feri mengenakan caj ke atas barangan keperluan sebanyak RM5 bagi setiap 10 kilogram barangan dan menaikkan harga tambang sebanyak RM25 untuk penduduk berbanding hanya RM20 sebelum kenaikan berkuat kuasa awal Mac lalu.

Katanya, walaupun feri masih tidak dibenarkan berlabuh menurun dan menaikkan penumpang, tetapi ia tidak menjejaskan operasi termasuk membenarkan penduduk di pulau peranginan itu menaiki feri ke Kuala Terengganu.

"Setakat ini, kita memutuskan untuk berlabuh bagi menurun dan menaikkan penumpang di perairan Pasir Panjang yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan menggunakan bot laju ke jeti pelancongan di pulau berkenaan.

"Tindakan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan perjalanan feri dari Jeti pelancongan Shah Bandar masih mengikut jadual perjalanan iaitu dua kali sehari bermula daripada 10.30 pagi dan 3 petang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Redang, Ladin Awang berkata, walaupun pengurusan feri memutuskan untuk tidak mengenakan bayaran ke atas barangan keperluan, tetapi pengangkutan air itu masih tidak dibenarkan berlabuh di jeti pelancongan Pulau Redang, melainkan pengurusan feri itu memenuhi tuntutan mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan penduduk.

No comments:

Post a Comment