Search This Blog

Tuesday, April 5, 2011

Pengawal keselamatan dihukum gantung



SHAH ALAM 4 April - Seorang pengawal keselamatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 9,482 gram kanabis, tiga tahun lalu.
Ahmad Shafila Mohamad Arshad, 40, kelihatan tenang namun ahli keluarganya dilihat menangis teresak-esak di galeri awam ketika mendengar keputusan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Menurut beliau, mahkamah sukar mempercayai keterangan tertuduh yang mendakwa, dia hanya menemani dua rakan ke stesen minyak Shell dan tidak tahu menahu tentang transaksi dadah yang dibuat di situ.
Beliau berkata, mahkamah menerima keterangan beberapa saksi pendakwaan yang melihat tertuduh berjalan keluar dari stesen minyak menuju ke kereta, membuka pintu kereta, memegang dadah dan seterusnya mengira jumlah dadah itu.
''Meskipun dua lagi suspek berjaya melarikan diri namun tidak bermakna tertuduh tiada peranan.
''Malah peranan tertuduh adalah penting memandangkan dia yang menyerahkan dadah kepada pembeli selepas wang diserahkan,'' katanya.
Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Haniff Hashim itu didakwa melakukan perbuatan itu bersama dua yang masih bebas di kawasan stesen minyak Shell, Lot 5729 Batu 6 1/2, Ulu Gombak pada pukul 10.05 malam, 26 Februari 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) yang membawa hukuman mati mandatori.
Timbalan Pendakwa Raya, Yong Leou Shin mengemukakan 14 saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan dan tertuduh membela diri tanpa mengemukakan saksi lain.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment