Search This Blog

Friday, April 29, 2011

Pemuda biadab naik angin


LANGKAWI: Seorang lelaki bukan saja biadab, malah bertindak kejam apabila memukul seorang daripada sekumpulan remaja lelaki sehingga cedera di kepala dan luka pada pipi kiri selepas ditegur kerana membuang air kecil berdekatan meja makan mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi semalam, di sebuah restoran berhampiran pusat hiburan di Pusat Dagangan Kelana Mas, dekat sini, kumpulan enam remaja terbabit dikatakan sedang makan sebelum seorang lelaki berusia 30-an muncul lalu membuka zip seluarnya.

Mangsa, Mohd Redzuan Abd Rahman, 21, dari Kampung Gelam, Mukim Kedawang, di sini, berkata, ketika sedang makan, lelaki berkenaan muncul lalu membuang air kecil berhampiran tempat mereka duduk menyebabkan seorang rakannya menegur perbuatan tidak bermoral itu.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki terbabit tiba-tiba melenting dan naik angin dengan teguran berkenaan lalu menghampiri meja mereka sambil menghamburkan kata-kata kesat.

“Sejurus kemudian lelaki terbabit yang masih tidak berpuas hati kerana ditegur cuba bertindak lebih ganas dengan menyepak badan dan menumbuk muka saya sambil dibantu rakan lelaki itu.

“Sebaik terkena hentakan objek keras, kepala saya berdarah dan hilang tenaga sambil hanya mampu berserah dengan apa yang akan berlaku, tetapi bernasib baik kerana ada rakan yang membantu.


“Saya hampir rebah selepas dipukul kumpulan lelaki terbabit, tetapi bernasib baik kerana tidak cedera parah,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, berikutan itu dia dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Langkawi bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, berdasarkan perbualan kumpulan lelaki terbabit, dia yakin mereka bukan penduduk tempatan dan dilihat bergegas meninggalkan tempat kejadian menggunakan sebuah van dan kereta.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan kejadian dan masih menjalankan siasatan lanjut.

“Kes ini lebih kepada perselisihan faham antara dua kumpulan dan polis masih menyiasat untuk mengenal motif sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini.

No comments:

Post a Comment