Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Pemilik bengkel, mekanik edar 2kg ganja dihukum mati

SHAH ALAM: Seorang pemilik bengkel dan mekanik dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah mengedar hampir dua kilogram (kg) ganja di sebuah stesen minyak di sebuah lebuh raya di Subang, dekat sini, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abd Rahim Uda membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan. Pada penghakimannya beliau berkata, mahkamah mendapati keterangan kedua-dua tertuduh Md Sukri Abdul Rahman, 42, dan Muhammad Zikry K Suresh, 42, ketika diperintah membela diri adalah keterangan terfikir semula yang tidak pernah dibangkitkan pada awal perbicaraan. Katanya, pembelaan tertuduh jika dilihat secara keseluruhan adalah janggal dan tidak selari keterangan saksi pendakwaan termasuk anggota polis berpangkat detektif dalam kes itu. Katanya, mahkamah berpendapat kedua-dua tertuduh memiliki pengetahuan, jagaan dan kawalan eksklusif terhadap dadah seperti dalam pertuduhan.

Sepanjang perbicaraan, enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan, Md Sukri dan Muhammad Zikry didakwa mengedar 1.885kg ganja di parkir bersebelahan Stesen Minyak Shell, KM34.5 arah Kuala Lumpur, Lebuhraya Kesas, Subang Jaya, kira-kira jam 5 petang, pada 23 Mac 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadhli Mat Sutris, sementara Muhammad Zikry diwakili peguam K Vikneswaran dan Md Sukri oleh Azzizul Shahriman Mat Yusof.
myMetro | Pemilik bengkel, mekanik edar 2kg ganja dihukum mati

No comments:

Post a Comment