Search This Blog

Friday, April 29, 2011

Pemandu lori dihukum gantung



ALOR SETAR - Seorang pemandu lori dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini semalam setelah didapati bersalah membunuh teman wanitanya dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu setelah Mohamad Adnan Abdul Rahim, 29, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam pembelaannya.

Mohamad Adnan dari Simpang Ampat, Pulau Pinang didakwa membunuh Nur Bahirah Ishak, 22, pada 17 Mei 2009 antara jam 10.30 hingga 10.45 pagi di sebuah rumah di Lorong Perak 2, Taman Perak, Kulim, Kedah.

Dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan menggunakan seterika untuk mengetuk kepala mangsa dan menggunakan gunting kecil bagi menikam secara bertubi-tubi di bahagian leher serta dada mangsa.

Kesalahan itu boleh menyebabkannya dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu mengikut keterangan pakar forensik patalogi bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan serius di beberapa bahagian badan yang bukan berlaku disebabkan perbuatan mangsa sendiri.

Penyataan tertuduh ketika membuat bela diri secara bersumpah tidak mempunyai niat untuk membunuh mangsa ditolak mahkamah kerana berdasarkan kesan kecederaan yang dialami mangsa membuktikan tertuduh mempunyai niat melakukannya.

Terdahulu Mohd Zaki, berkata, setelah mendengar keterangan saksi pembelaan dan saksi pendakwaan serta membaca hujahan bertulis pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan Mohamad Adnan disabit dengan pertuduhan.

“Berdasarkan kecederaan, ia tidak berasaskan kepada hak membela diri atau provokasi mendesak oleh si mati,” katanya.

Peguam bela tertuduh, K Pathmanathan, dalam rayuannya meminta supaya hukuman yang dikenakan terhadap anak guamnya diringankan kerana tertuduh masih bujang dan ini adalah kesalahan pertama dilakukan serta turut dimasukkan ke dalam wad kerana tercedera dalam kejadian itu.

Mohd Zaki kemudian berkata, tidak ada hukuman lain yang diperuntukkan bawah seksyen itu melainkan hukuman mati dan tertuduh disabitkan dengan kesalahan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim.

No comments:

Post a Comment