Search This Blog

Tuesday, April 26, 2011

Nama meragukan pada slip bank



KUALA ROMPIN – Seorang peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang kehilangan wang sebanyak RM11,230 di dalam akaunnya di sebuah bank, tidak menolak kemungkinan kehilangan wang itu ada kaitan dengan kakitangan institusi kewangan tersebut.

Rokiah Kemat, 53, berkata, berdasarkan pada penyata yang diperoleh dari bank itu, terdapat satu nama seorang wanita yang meragukan dipercayai mendalangi kegiatan pengeluaran wang pinjaman AIM yang dimasukkan ke dalam akaunnya pada 31 Mac lalu.

Menurutnya, kegiatan pengeluaran wang itu juga dipercayai bukan dilakukan orang biasa, tetapi ia dilakukan mereka yang sudah mahir dengan transaski pengeluaran wang masuk dan keluar.

“Kegiatan ini dipercayai didalangi orang dalam yang mahir dengan selok belok transaksi pengeluaran dan saya percaya ia bukan didalangi orang luar yang tidak tahu apa-apa kod berkaitan bank,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian pada 9 April lalu melaporkan Rokiah yang baru memperoleh pinjaman mikro kredit terpaksa berputih mata selepas wang di dalam akaunnya berjumlah RM11,230 lesap dipercayai dikebas penggodam internet yang tidak dikenali.

Kejadian itu disedari Rokiah pada 3 April lalu selepas wang yang diluluskan AIM tidak dapat dikeluarkan dan membuat aduan selepas empat hari kemudiannya kepada kakitangan AIM berhubung dengan pinjaman berkenaan.

Kakitangan AIM terbabit memberitahu wang pinjamannya itu telah dimasukkan ke dalam akaunnya pada 31 Mac lalu dan akan menyiasat perkara itu termasuk menghubungi bank berkaitan.

Bagaimanapun Rokiah berkata, sehingga kini dia masih belum menerima apa-apa maklumat dan perkembangan berhubung kes kehilangan wang pinjamannya menerusi bank terbabit sedangkan dia terpaksa membayar semula pinjaman wang itu dalam masa terdekat.

“Cuma saya diberitahu oleh cawangan bank di Kuala Rompin bahawa perkara itu sudah dibawa ke Kuantan dan laporan itu akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“Saya kecewa sehingga kini siasatan terbabit masih belum menunjukkan perkembangan positif dan berharap agar pihak bank dapat menjalankan siasatan segera supaya penjenayah itu dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Menurutnya, sebagai ahli AIM dia bimbang jika pihak terbabit akan menggunakan modus operandi yang sama dengan menjadikan wang pinjaman AIM sebagai sasaran bagi mendapatkan wang dengan cara yang mudah.

“Saya nasihatkan rakan lain supaya lebih berhati-hati kerana taktik ini juga mungkin digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil wang milik orang lain di dalam akaun mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment