Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Suami mahu keadilan

KOTA BHARU: “Saya terkejut selepas puluhan kali menelefon isteri, akhirnya panggilan saya dijawab seorang anggota polis dan meminta saya segera datang ke bilik sebuah hotel.
“Apa yang menyedihkan, saya diberitahu supaya datang membuat pengecaman mayat,” kata ahli perniagaan, Mohd Rahimi Mohamed, 41, suami kepada Rozi Hana Md Zin, 34, yang ditemui mati di dalam sebuah bilik hotel, di sini, Ahad lalu.

Sehari selepas kejadian, empat wanita direman enam hari bagi membantu siasatan kes kematian berkenaan. Suspek berusia antara 39 dan 49 tahun dari Kuala Lumpur itu ditahan pada petang Ahad.
Mohd Rahimi berkata, sebelum kejadian, dia difahamkan isterinya itu dalam perjalanan menghantar anaknya, Mohd Razimi Amirul, 13, ke sekolah sambil ditemani adik isterinya, Rima Fatima Md Zin, 23.

“Saya difahamkan, isteri saya singgah sebentar di hotel berkenaan dan berpesan kepada anak dan adiknya yang dia mahu berjumpa seseorang.

“Bagaimanapun, isteri saya tidak keluar dari hotel sehingga menyebabkan adiknya (Rima Fatima) berasa tidak sedap hati dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kali terakhir dijawab pada 10.52 pagi. Sebaik dihubungi adik ipar memberitahu mengenai perkara berkenaan, saya segera menghubungi isteri, tetapi tidak dijawab sehinggalah akhirnya ada anggota polis yang menjawab mengatakan isteri saya ditemui meninggal dunia di hotel berkenaan,” katanya pada sidang media di rumahnya, di Kampung Pulau Kapas, Tapang, dekat sini, semalam.
Menurut Mohd Rahimi, kematian isterinya menimbulkan tanda tanya dan meminta supaya polis menjalankan siasatan rapi mengenai kejadian itu. Katanya, dia berharap kematian isterinya itu akan mendapat pembelaan sewajarnya dan berterima kasih kepada polis yang setakat ini menjalankan tugas mereka dengan baik.

“Apa yang membuatkan saya terkilan, saya yakin, jika empat wanita yang dikatakan berada bersama isteri saya itu segera menghubungi ambulans, kemungkinan isteri saya boleh diselamatkan.
“Selain itu, saya tertanya-tanya mengapa panggilan telefon tidak dijawab dan seandainya mereka berada bersama isteri yang mungkin ketika itu tidak sedarkan diri, mengapa tidak jawab panggilan saya kerana ketika panggilan telefon yang dibuat pada telefon bimbit isteri keluar nama ‘my husband’ (suami saya). Justeru, saya meminta polis supaya menjalankan siasatan terperinci mengenai kes ini,” katanya.

Menurutnya, bukan niatnya menganiaya mana-mana pihak berkaitan kes kematian isterinya itu, tetapi jika siasatan polis mendapati ada sesuatu mencurigakan, biarlah keadilan menentukannya.
myMetro | Suami mahu keadilan

No comments:

Post a Comment