Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Pencuri ‘berpesta’

KAJANG: Sepasang suami isteri kerugian lebih RM5,000 apabila rumah mereka dipecah masuk dua lelaki warga asing dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi ketika tidur di rumah mereka di Seksyen 2, Bukit Mahkota, kelmarin.
Mangsa, Abd Razak Sudin, 49, berkata, ketika kejadian, dia, isteri serta empat anaknya sedang tidur di dalam bilik yang sama dan hanya menyedari rumah mereka dipecah masuk selepas terjaga jam 7 pagi.

Katanya, dia mengesyaki kedua-dua pencuri terbabit menggunakan ilmu pukau berikutan dia sekeluarga langsung tidak menyedari kehadiran mereka yang turut menyelongkar dua bilik lain dan ruang tamu.
“Isteri saya yang menyedari telefon bimbitnya hilang bergegas turun ke ruang tamu dan mendapati beg tangan dan barangan rumah berselerakan.

“Mereka membawa lari wang tunai RM450, komputer riba, dua telefon bimbit, jam tangan dan beberapa barang berharga lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit memasuki rumahnya melalui pintu belakang dengan membuka cermin tingkap sebelum menggunakan kunci sendiri untuk membuka pintu pagar rumah.
“Walau pun mereka masuk dan ‘berpesta’ termasuk merokok di dalam rumah, kami langsung tidak sedar malah mereka juga keluar tanpa meninggalkan sebarang kesan pecah masuk kerana lampu rumah terpasang,” katanya.

Bagaimana pun dia berkata, kelibat dua penjenayah terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik jirannya.
“Jiran saya yang baru pulang dari kerja memaklumkan kepada kami mengenai muka pencuri terbabit yang dapat dilihat dengan jelas pada CCTV itu.

“Rakaman itu menunjukkan dua lelaki warga asing bertocang rambut, memakai baju tanpa lengan, seluar pendek serta berkaki ayam keluar dari belakang rumah saya,” katanya.

Katanya, kejadian itu adalah kali pertama berlaku di rumahnya, namun sudah berulang kali sejak tiga bulan lalu membabitkan beberapa penduduk di kawasan perumahan berkenaan.
myMetro | Pencuri ‘berpesta’

No comments:

Post a Comment