Search This Blog

Wednesday, April 20, 2011

Minyak seludup RM16,000 dirampas



KEDAWANG - Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia Langkawi berjaya menumpaskan cubaan menyeludup minyak ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Langkawi, Deputi Superintendan (DSP) Salehuddin Mat Zamani berkata, pasukannya bertindak melakukan serbuan berdasarkan maklumat awam.

“Pasukan marin diketuai Asistan Superintendan (ASP) Rozi Hassan bersama empat anggota lain berjaya memintas bot pukat tunda yang dipercayai cuba menyeludup keluar minyak di perairan Langkawi sekitar jam 7.45 malam pada 18 April lalu,” katanya.

Menurutnya, setelah berjaya ditahan, anggota polis marin mendapati sebanyak lebih kurang 6,000 liter minyak diesel dalam lima buah tangki termasuk tangki tambahan yang berada dalam bot berkenaan.

Salehuddin berkata, minyak diesel itu dipercayai merupakan minyak subsidi nelayan yang di seludup dari Kuala Perlis.

“Polis marin menganggarkan jumlah rampasan minyak bernilai sekurang-kurangnya RM16,000 dan berjaya menahan tiga awak-awak warganegara Thailand berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, " katanya.

Menurutnya, awak-awak berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk membawa minyak itu keluar dari perairan negara ketika diarahkan berbuat demikian.

“Minyak itu dipercayai dijual dengan harga RM 3 bagi setiap liter di Thailand berbanding RM1.60 seliter di Malaysia, “ katanya.

Difahamkan, kes ini merupakan rampasan terbesar yang pernah dilakukan oleh polis marin Langkawi untuk tahun ini.

Ketiga-tiga awak-awak akan didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

No comments:

Post a Comment