Search This Blog

Tuesday, April 5, 2011

Menangis kena penjara




TELUK INTAN - Lapan wanita warga Indonesia yang dijatuhi hukuman penjara empat bulan menangis teresak-esak ketika hukuman dibacakan oleh Mahkamah Seksyen (Khas) di Depoh Tahanan Pati, di sini, semalam.

Mereka yang menerima hukuman dikenali Toyyimah, 21; Toyibah, 22; Sanimah, 26; Sumaliyeh, 29; Sumina, 30; Niwati, 18; Misati, 28, dan Maginah, 41, didapati bersalah di bawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen kerana tinggal dalam negara melebihi masa yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama, 11 lelaki rakan senegara juga menerima nasib sama apabila Hakim, Ahmad Hidayat Md Noor menjatuhkan hukuman penjara empat bulan serta sebatan atas kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen iaitu tinggal dalam negara tanpa permit yang sah.

Kesemua tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan berusia antara 18 hingga 50 tahun itu ditahan pihak Imigresen Cawangan Teluk Intan dalam satu operasi Ops Sapu di tapak pembinaan Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Hilir Perak di Jalan Durian Sebatang, di sini pada Mac lalu.

Kesemua 11 lelaki warga Indonesia itu dikenali sebagai, Beri, 36; Mas Sedi, 27; Ari, 28; Roni, 20; Lokhman, 25; Ilham, 23; Sujahit, 50; Siiafik, 25; Rofiki, 22; Karim, 45, dan Hali.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dibuat Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Negeri, Roshamsul Ahmad Tajri.

Kesemua tertuduh menganggukkan kepala tanda memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Malaysia di hadapan hakim.

Selepas berpuas hati dengan keterangan yang diberikan, Ahmad Hidayat menjatuhkan hukuman penjara empat bulan kepada semua tertuduh dan hukuman sebat sebanyak sekali bagi 11 lelaki warga asing berkenaan berkuat kuasa pada hari mereka ditahan.
SH

No comments:

Post a Comment