Search This Blog

Friday, April 15, 2011

Maut akibat langgar lari



BUKIT MERTAJAM – Hasrat seorang bapa untuk menghantar anak perempuannya ke sekolah tidak kesampaian selepas kedua-duanya maut dalam kejadian langgar lari, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa, Abdul Samat Arshad, 49, dan anaknya, Nurul Irdina, 13, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah lori dari arah belakang di kilometer 148.9 Lebuh raya Utara Selatan menghala ke utara dekat susur Batu Kawan.

Ketika kejadian, mangsa yang juga seorang pegawai bomba KB17 yang bertugas di Balai Bomba Perai dikatakan dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah menaiki motosikal sebelum hilang kawalan lalu terbabas di bahu kanan jalan.

Begitu pun, malang tidak berbau apabila sebuah lori datang dari arah belakang lalu merempuh dan menggilis dua beranak itu dan melarikan diri sejurus kemudian.

Berikutan itu, kedua-dua mangsa yang cedera parah di kepala serta-merta di tempat kejadian.

Mayat mangsa di bawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Masjid, Teluk Kumbar untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita sedang memburu pemandu lori yang melanggar kedua-dua mangsa.

“Justeru, kita meminta saksi kejadian serta pemandu lori terbabit supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment