Search This Blog

Sunday, April 3, 2011

Malang berganda



ALOR GAJAH - Tiga sahabat mengalami saat mencemaskan apabila kereta yang dinaiki bukan saja melanggar sebuah lori tangki minyak sebelum berpusing dan terhenti di tengah lebuh raya.

Sebaliknya, kereta dinaiki mereka turut terbakar selepas dirempuh sebuah lagi kereta yang datang dari arah belakang, sebaik saja kesemua mangsa sempat keluar dari kenderaan terbabit.

Kejadian berlaku di Kilometer 206 Lebuhraya Utara - Selatan, kira-kira 6 pagi semalam apabila pemandu kereta jenis Proton Wira itu tidak sempat membrek apabila sebuah lori tangki tiba-tiba memasuki laluan hadapannya.

Akibatnya, kereta terbabit melanggar pembahagi jalan sebelum berpusing dan berhenti di tengah lebuh raya.

Selang beberapa saat, sebuah kereta Toyota Camry datang dari arah belakang merempuh belakang Proton Wira terbabit sehingga menyebabkan Proton Wira berkenaan terbakar, kesan daripada tumpahan minyak daripada lori tangki berkenaan.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang Proton Wira itu bernasib baik kerana terselamat selepas sempat keluar dari kenderaan sebelum dirempuh Toyota Camry berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, sebuah lagi kereta jenis Proton Saga BLM terlanggar sedikit Proton Wira terbabit akibat keadaan laluan yang agak gelap.

Pemandu Proton Wira dikenali sebagai Tew Jia Juan, 20-an berkata, dia dalam perjalanan dari Selangor ke Johor Bahru.

“Saya memandu di laluan kanan dan tiba-tiba terdapat sebuah lori tangki secara tiba-tiba memasuki laluan saya untuk memotong sebuah kereta di hadapannya. Saya tak sempat memberhentikan kereta terus menghentam belakang lori itu,” katanya.

Jia Juan berkata, akibat rempuhan itu, dia turut melanggar pembahagi jalan dan berpusing beberapa kali sebelum berhenti di tengah jalan menghala ke laluan bertentangan.

“Ketika itu, saya dan dua lagi rakan berjaya keluar untuk ke tepi jalan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa kejadian.

Dalam pada itu, jurucakap polis berkata, kereta Toyota Camry dipandu seorang lelaki berusia 40-an bersama isteri dan dua anaknya berusia lingkungan 20-an gagal mengawal kenderaan lalu melanggar belakang Proton Wira itu.

“Proton Wira itu terus terbakar disebabkan minyak yang terdapat pada bahagian belakang lori minyak berkenaan.

“Tidak berapa lama kemudian datang pula Proton Saga BLM melanggar sedikit bahagian pada Proton Wira terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Alor Gajah serta Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

No comments:

Post a Comment