Search This Blog

Friday, April 15, 2011

Lima jam tersepit



KULAIJAYA – Seorang juruteknik meninggal dunia setelah kenderaan dipandu terbabas ke dalam kawasan ladang kelapa sawit di laluan Seelong-Tebrau, di sini dalam kejadian kira-kira 3 pagi, semalam.

Sinar Harian difahamkan, Asri Elias, 23 yang tersepit di dalam kenderaannya dijumpai melekat pada sebatang pokok kelapa sawit selepas lima jam kenderaannya terperosok di dalam ladang berkenaan.

Kejadian itu disedari orang awam yang terlihat kereta bernombor pendaftaran KCP 1455 jenis Proton Iswara yang dipandu Asri berada di dalam ladang kelapa sawit dalam keadaan remuk, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Sementara itu, pemergian Asri dalam keadaan mengejut dan menyayat hati disambut tangisan pilu bapa dan keluarganya yang berada di tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai nahas itu kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Elias Dolah, 50-an, yang terkejut dengan kejadian menimpa anak kelimanya itu memberitahu, ketika nahas berlaku, Asri sedang dalam perjalanan pulang ke Felda Sungai Sibol dari rumah kakak sulungnya.

“Saya tidak tahu dia (Asri) bertolak jam berapa dari rumah kakaknya yang tinggal di Mutiara Rini kerana ketika itu saya sedang bekerja.

“Saya percaya ketika itu Asri dalam perjalanan pulang ke rumah kami di Sungai Sibol (Felda). Tetapi nahas yang berlaku menyebabkan kami sekeluarga tidak dapat menemuinya buat kali terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha kebun berhampiran lokasi kejadian, Mohd Syazwan, 28 berkata, beliau terdengar bunyi dentuman kuat ketika sedang menanam sayur di ladangnya kira-kira jam 3 pagi namun tidak menyangka nahas kemalangan yang berlaku.

“Lebih kurang jam 3 pagi saya dengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya tetapi saya tidak pasti kejadian yang berlaku kerana keadaan terlalu gelap.

“Kemudian saya keluar untuk membeli sarapan kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) dan ternampak orang ramai sudah mengerumuni lokasi kejadian dan terdapat sebuah kereta terperosok pada pokok kelapa sawit.

“Ketika itu baru saya sedari bunyi dentuman kuat berkenaan mungkin berpunca dari nahas kemalangan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi mengesahkan nahas yang berlaku.

Manakala mayat Asri yang meninggal dunia di tempat kejadian di bawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang oleh keluarganya untuk dikebumikan.

No comments:

Post a Comment