Search This Blog

Wednesday, April 13, 2011

Letupan bom di Belarus, 12 maut





PETUGAS-PETUGAS kecemasan membantu seorang wanita yang tercedera dalam kejadian serangan bom di stesen kereta api bawah tanah di Minsk, Belarus, kelmarin. Gambar kanan yang dipetik dari siaran televisyen menunjukkan kesan runtuhan stesen yang musnah. – AFP


MINSK 12 April - Satu letupan kuat menggegarkan stesen kereta api bawah tanah yang sesak di sini petang semalam, meragut 12 nyawa dalam satu insiden yang disifatkan Presiden Alexander Lukashenko sebagai cubaan menjejaskan kestabilan negara ini.
Letupan tersebut berlaku di sebuah platform pada kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan (11 malam tadi waktu Malaysia) di stesen metro Oktyabrskaya di sebuah daripada persimpangan landasan kereta api bawah tanah paling sibuk, hanya kira-kira 100 meter dari ibu pejabat utama Presiden.
Belarus dilapor telah menahan beberapa individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan letupan tersebut, lapor timbalan pendakwa raya, Andrei Shved.
Tambah beliau, lakaran imej individu dikehendaki juga telah ada dan akan diedarkan kepada umum dalam masa terdekat.
Menurut saksi, letupan itu berlaku ketika penumpang bersesak-sesak menunggu ketibaan sebuah kereta api di platform itu.
“Darah dilihat di merata tempat, saya juga nampak cebisan daging manusia. Ia sangat ngeri,” kata seorang saksi yang dikenali sebagai Viktor, 47 tahun.
Satu sumber pentadbiran Lukashenko memberitahu Reuters, pendakwa raya mengklasifikasikan insiden itu sebagai serangan keganasan.
Belarus hari ini berusaha mengenal pasti perancang di sebalik pengeboman tersebut dengan polis dilapor menjalankan pemeriksaan di jalan-jalan, stesen-stesen kereta api dan lapangan terbang.
Menurut Kementerian Pertahanan, seramai 204 mangsa yang cedera kini dirawat di hospital dengan 26 daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
Menteri Dalam Negeri, Anatoily Kuleshov berkata, peranti letupan berisi bebola logam yang mempunyai kekuatan sama dengan lima hingga tujuh kilogram TNT itu dipercayai diletak di bawah sebuah kerusi di platform.
Tambah beliau, kira-kira 300 penumpang berada di platform ketika kejadian. - Agensi

No comments:

Post a Comment