Search This Blog

Sunday, April 3, 2011

Lebih 3,000 cakera optik disita



SEREMBAN - Bahagian Kawalan Filem (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Cawangan Negeri Sembilan menyita sebanyak 3,676 cakera optik terdiri daripada cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) di sekitar negeri ini, sepanjang Januari hingga pertengahan Mac lalu.

Ketua Cawangannya, Zainal Abidin Othman berkata, semua cakera optik terdapat dirampas kerana tidak mendapat kelulusan agensi terbabit.

“Turut disita adalah sebanyak 13,293 bahan publisiti. Semuanya ditemui dalam pemeriksaan dijalankan ke atas premis-premis menjual VCD dan DVD di sekitar negeri ini.

“Nilai keseluruhan cakera optik dan bahan publisiti disita sepanjang tempoh berkenaan dianggarkan kira-kira RM42,000,” katanya di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan itu diambil pihaknya mengikut Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620).

Dalam pada itu, kata Zainal Abidin, selain penguat kuasaan, pihaknya juga giat menjalankan aktiviti pendidikan berhubung pematuhan akta berkenaan.

Beliau berkata, penerangan berhubung akta terbabit diberi kepada peniaga semasa pemeriksaan dijalankan pegawai dan anggotanya.

“Peniaga perlu sedar kesan mereka menjual cakera optik tidak diluluskan terhadap ketenteraman awam, agama, sosiobudaya, ketertiban dan kesusilaan masyarakat.

“Orang ramai juga perlu memberi kerjasama dalam membanteras kegiatan itu dan mereka sewajarnya memastikan setiap cakera optik yang dibeli mendapat kelulusan BKF KDN,” katanya.

Sehubungan itu, kata Zainal Abidin, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kegiatan berkenaan boleh menyalurkannya dengan menghubungi BKF KDN Cawangan Negeri Sembilan di talian 06-7611152.

No comments:

Post a Comment