Search This Blog

Thursday, April 7, 2011

Kontraktor dan pemilik syarikat pembalakan dipenjara dan didenda



KUALA LUMPUR - Seorang kontraktor dan seorang pemilik syarikat pembalakan, hari ini masing-masing dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan didenda RM35,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, terhadap dua pertuduhan memberi rasuah kepada Penolong Pengarah Operasi dan
Penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Chin Boon Leong, 43, dan Hor Kin Onn, 43.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 24 bulan serta denda RM25,000, dan jika gagal membayar denda boleh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.
Manakala bagi pertuduhan kedua masing-masing dikenakan hukuman penjara 24 bulan serta denda RM10,000, dan jika gagal membayar denda di penjara enam bulan.
Mahkamah memerintahkan supaya hukuman berjalan serentak berkuatkuasa hari ini. Boon Leong, dan Kin Onn, didakwa atas kesalahan dengan niat bersama memberi rasuah RM5,000 kepada Mohd Yussainy Md Yusop pada kira-kira pukul 10.30 malam, 1 Februari tahun lepas.

Bagi pertuduhan kedua mereka didakwa terlibat dengan kesalahan sama memberi rasuah RM5,000, di daerah Sepang pada 12.05 tengah hari, 2 Februari 2010.
Kedua-dua perbuatan itu adalah sebagai dorongan supaya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan menyita sebuah lori yang tidak berdaftar, sebuah jentolak dan sebuah jengkaut yang digunakan untuk kerja-kerja pembalakan haram.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama
SH

No comments:

Post a Comment