Search This Blog

Thursday, April 7, 2011

Kes Berlusconi mula dibicara


MILAN 6 April - Perbicaraan kes Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi atas tuduhan melanggan seorang pelacur bawah umur dan menyalahgunakan kuasa bermula di sini hari ini, berikutan pelbagai pendedahan sensasi yang telah menjejaskan populariti beliau.

Berlusconi tidak hadir pada perbicaraan tersebut yang ditangguhkan oleh panel hakim ke 31 Mei ini sejurus selepas kes itu didengar.

Wanita yang menjadi tumpuan kes, Karima El Mahroug, kini 18, dan lebih dikenali sebagai 'Ruby Pencuri Hati' juga tidak hadir.

Pasukan peguam bela sebelum ini berkata, mereka akan memanggil aktor Amerika Syarikat (AS), George Clooney dan bintang bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo untuk memberi keterangan.

Langkah itu diambil dalam usaha untuk mempertikaikan kenyataan yang dibuat oleh Ruby mengenai kedua-dua lelaki dalam keterangannya kepada pendakwa raya.

Menteri Luar, Franco Frattini juga dilaporkan termasuk dalam senarai saksi.

Seramai 33 wanita yang disebut oleh pendakwa raya sebagai peserta dalam pesta liar dan tarian erotik bersama-sama Berlusconi juga dijangka memberi keterangan.

Tuduhan mengadakan hubungan seks dengan orang bawah umur boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, manakala tuduhan menyalahgunakan kuasa boleh membawa hukuman penjara 12 tahun.

Berlusconi menyangkal tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai karut.

"Saya sudah hampir mencecah umur 75 tahun dan kalau saya nakal pun, 33 wanita dalam tempoh dua bulan agak keterlaluan bagi saya," kata beliau secara berkelakar pada Mac lalu. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment