Search This Blog

Friday, April 15, 2011

Kaca dalam tangan


KUANTAN: Seorang peniaga tidak menyangka selama ini hidupnya ‘berteman’ serpihan kaca yang tertanam di dalam tangan kirinya selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya kira-kira 10 bulan lalu.
Malah, lebih mengejutkan apabila mangsa, Lee Sing Keat, 44, dari Taman Tunas Jaya, Jalan Semambu, di sini, hanya menyedari perkara itu selepas kaca sepanjang 0.5 sentimeter (sm) berkenaan tersembul keluar daripada tangannya dua hari lalu. Lebih menimbulkan kemusykilan lelaki itu ialah apabila pihak hospital turut gagal mengesan sebarang kehadiran benda asing berkenaan di dalam tangannya selepas menerima rawatan akibat kemalangan terbabit pada Jun tahun lalu.

Lee berkata, dia ditimpa kemalangan ketika menunggang motosikal pada 21 Jun tahun lalu apabila terlanggar cermin sisi sebuah kereta.
“Akibatnya, tangan kiri saya cedera dan saya mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

“Ketika di HTAA, seorang pembantu perubatan hanya meminta saya mencuci tangan yang luka di paip air sebelum membuat pemeriksaan X-Ray seterusnya menjahit luka berkenaan,” dakwanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Lee mendakwa, selepas itu dia disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius sebelum diberi cuti sakit selama tiga hari.
“Dua hari selepas itu saya pergi semula ke hospital berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan turut dimaklumkan perkara sama iaitu luka dialami hanya kecil dan mereka tidak mengesan sebarang kewujudan benda asing dalam tangan kiri saya,” katanya.

Katanya, dua minggu lalu dia berasa seperti ada sesuatu tidak kena pada tangan kirinya itu apabila terasa seperti ada benda mencucuk dan sakit.
“Apabila dirasa dengan tapak tangan, ia seperti benjolan muncul daripada tangan kiri saya dan sakit bila disentuh,” katanya.

Serpihan kaca yang tersembul keluar daripada tangan kirinya dua hari lalu lalu akhirnya membongkar kesakitan yang dialaminya sepanjang dua minggu lalu.

“Seperti silap mata apabila tiba-tiba serpihan kaca tersembul keluar dari dalam tangan kiri saya sedangkan tahun lalu pihak hospital mengesahkan kecederaan dialami saya tidak serius dan pemeriksaan X-Ray juga gagal mengesan sebarang bendasing tertanam di dalamnya,” katanya.

Lee berkata, dia akan mendapatkan rawatan untuk membuang serpihan kaca berkenaan selain membuat aduan kepada HTAA berhubung kejadian menimpanya.

“Jika keadaan menimpa saya ini disebabkan kecuaian pihak hospital saya amat dukacita dan berharap mereka lebih berhati-hati dan teliti ketika merawat pesakit pada masa akan datang,” katanya.MyMetro | Kaca dalam tangan

No comments:

Post a Comment