Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Ibu syak anak mati didera




R. Rajeswari (duduk, tengah) ditenangkan oleh ahli keluarganya di Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 20 April - Seorang wanita membuat laporan polis selepas mendakwa anak lelakinya yang baru berusia setahun enam bulan mati dipercayai akibat didera oleh isteri pertama suaminya.
R. Rajeswari, 22, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini malam tadi.
Menurut wanita itu, anaknya, Lim Teik Kheng meninggal dunia di sebuah hospital swasta selepas dikatakan terjatuh dari katil di rumah suaminya di Taman Angsanasari.
Dakwanya, Teik Kheng dikatakan terjatuh dari katil dua tingkat kira-kira pukul 11 pagi semalam tetapi dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan hanya lima jam kemudian.
"Anak saya dibawa tinggal bersama keluarga suami kerana mereka tidak mempunyai anak lelaki.
"Namun saya terkejut apabila dihubungi keluarga suami, anak saya meninggal dunia kerana sesak nafas selepas terjatuh katil kira-kira pukul 7 petang semalam," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.
Katanya, dia bagaimanapun mengesyaki sesuatu apabila melihat keadaan mayat Teik Kheng yang mempunyai kesan kecederaan.
"Ketika menguruskan mayat, saya ternampak kesan kecederaan di badannya seperti didera. Saya syak ada sesuatu tidak kena," katanya.
Rajeswari memberitahu, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya kira-kira enam bulan lalu dan mendapati dia dalam keadaan sihat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut.
Katanya, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap bedah siasat sebelum dapat mengambil sebarang tindakan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment