Search This Blog

Sunday, April 3, 2011

Gegaran bom



PETALING JAYA – Penghuni Kondominium Paradesa Tropika, Bandar Sri Damansara bimbang dengan aktiviti mengebom batu yang jauhnya hanya 150 meter dari kawasan rumah mereka.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi tersebut menemui penduduk yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

Seorang penduduk, Andrew Tan berkata aktiviti mengebom yang bermula sejak Selasa minggu lalu menggegar bangunan lima blok kediaman setinggi lima hingga lapan tingkat di situ.

“Pada Selasa letupan berlaku dua kali kira-kira jam 12 tengah hari manakala pada Jumaat dua letupan kedengaran juga pada waktu yang sama,”katanya.

“Difahamkan aktiviti mengebom batu itu terpaksa dibuat menyiapkan jalan ke kawasan rumah teres di atas Bukit Meranti yang boleh tembus ke Damansara Perdana,”katanya.

Menurut Andrew kerja-kerja mengebom itu mempunyai permit yang dikeluarkan oleh pihak polis.

“Kami tahu ianya mempunyai permit tetapi perlukah kawasan itu dibom sedangkan terdapat bangunan tinggi yang terletak beberapa meter atau sudah tidak ada cara lain untuk meratakan kawasan itu bagi mengelakkan penggunaan bom,”katanya.

Jelasnya projek kerja-kerja meratakan kawasan itu boleh dilakukan tanpa menggunakan bahan letupan.

Sementara itu seorang lagi penduduk Mohd Hashim Abdullah 45 berkata jika bom terus dijadikan kaedah untuk dikhuatiri pelbagai musibah boleh berlaku terutama melibatkan struktur tanah dan keretakkan.

“Kontraktor terbabit perlu mengkaji keperluan menggunakan bom untuk meratakan kawasan berbukit di situ,”katanya.

Tambahnya meskipun penduduk di kedua-kedua kawasan iaitu Tropica dan Rustica tidak bersetuju dengan projek tersebut sebelum ini namun ianya tetap dilaksanakan.

“Sudahlah kawasan hijau ditarah, sekarang kami di sini terpaksa perlu tanggung risikonya,”katanya.

Jelasnya pihak berkuasa tempatan (PBT) diharap dapat campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu.

No comments:

Post a Comment