Search This Blog

Friday, April 15, 2011

Enam sekeluarga cemas dirompak



KUANTAN - Enam sekeluarga dari Bandar Jengka 23 dekat Maran menempuh detik mencemaskan apabila kediaman mereka dimasuki lima perompak bertopeng dipercayai warga asing bersenjatakan parang, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, pengadu yang berusia 65 tahun bersama isteri, anak dan menantunya diikat menggunakan wayar telefon sebelum dikumpulkan dalam satu bilik, manakala cucunya termasuk bayi berusia 11 bulan tidak diapa-apakan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Risikan dan Operasi) Superintendan Nordin Mustapha berkata, perompak yang dipercayai masuk melalui tingkap sisi rumah berjaya melarikan beberapa barang berhara.

"Antaranya sejumlah barang kemas, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM200 membabitkan jumlah keseluruhan dianggarkan RM5,000," katanya.

Menurutnya, semua keluarga terbabit tidak dicederakan bagaimanapun mereka ditinggalkan dalam keadaan terikat setelah perompak melarikan diri bersama hasil rompakan.

“Sebelum kejadian, pengadu yang juga peneroka tanah rancangan Felda itu sedang tidur dalam bilik bersama isteri manakala anak menantunya berada dalam bilik berasingan.

“Kira-kira jam 2.30 pagi mereka dikejutkan dengan bunyi seakan pintu dibuka secara kasar lalu pengadu bangun untuk meninjau keadaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Nordin berkata, selepas membuka lampu, pengadu terkejut apabila melihat lima lelaki memakai penutup muka bersenjatakan parang berada dalam rumahnya.

“Mangsa diacukan parang oleh perompak sebelum diberi amaran supaya tidak menjerit atau melawan.

“Perompak kemudiannya me-ngikat keluarga itu sebelum bertindak menggeledah seluruh rumah mencari barang berharga,”katanya.

Menurutnya, semua mangsa yang berjaya melepaskan diri dari ikatan segera membuat laporan polis dan susulan itu, polis menjalankan siasatan lanjut kes ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment