Search This Blog

Sunday, April 3, 2011

DVD cetak rompak dirampas



SHAH ALAM - Sepasukan 30 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya menyerbu empat lokasi premis yang menjual cakera padat video digital (DVD) cetak rompak.

Serbuan serentak bermula jam 8 malam melibatkan dua lokasi di Seksyen 7 dan masing-masing di Seksyen 17 dan Seksyen 24, malam kelmarin.

Menurut Penolong Pengarah, Bahagian Penguat kuasa KPDNKK Putrajaya, Aminuddin Muhammad, serbuan dibuat berdasarkan hasil intipan anggotanya selama seminggu dan juga hasil maklumat orang ramai.

“Daripada semua lokasi sasaran, dua tangkapan telah dibuat dan salah satunya melibatkan dua orang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Bangladesh yang menjaga premis di salah satu lokasi serbuan,” katanya.

Menurutnya, dua Pati berkenaan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut sementara suspek dalam satu tangkapan lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

“Dalam operasi ini, pihak kami berjaya merampas DVD cetak rompak yang nilai keseluruhannya adalah sebanyak RM38,000, namun operasi untuk membanteras gejala ini tidak akan berakhir di sini. Pihak kami akan terus menjalankan intipan dan siasatan bagi melumpuhkan aktiviti penghasilan dan jualan DVD cetak rompak.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan di bawah perintah Perihal Dagangan Label Cakera Optik, Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Hakcipta 1987.

Operasi turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Rela.

No comments:

Post a Comment