Search This Blog

Friday, April 29, 2011

Dua sahabat maut kemalangan





MUAR 28 April - Dua sahabat maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori muatan kelapa sawit di Batu 14, Jalan Bakri-Yong Peng di Air Hitam di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang, pemandu kereta Mitsubishi Pajero tersebut, Mohamad Azarul Akmal Md. Ramlan, 21, dan rakannya, Mohd. Nazri Md. Asan, 25, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut jurucakap polis, kemalangan berlaku apabila kenderaan mangsa dari arah Muar menghala ke Air Hitam tiba-tiba terlanggar lopak sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
"Kemalangan itu berlaku di kawasan selekoh dan kenderaan mangsa telah dirempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
"Pemandu lori muatan kelapa sawit itu hanya cedera ringan," katanya.
Kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dalam perjalanan ke rumah masing-masing selepas bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Parit Ulu di sini.
Allahyarham Mohamad Azarul berasal dari Parit Jepun, Air Hitam manakala Allahyarham Mohd. Nazri berasal dari Parit Haji Anuar, Air Hitam.
Mayat dua sahabat itu dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Air Hitam di sini hari ini.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik daerah, Inspektor Mohd. Redzuan Mohd. Lin di talian 06-9526222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

No comments:

Post a Comment