Search This Blog

Sunday, April 3, 2011

Dadah celah dubur



BERA – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Bera berjaya merampas 43.5 gram dadah jenis heroin dan menangkap tiga lelaki di Felda Sebertak, dekat sini, jam 10.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superitendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, berdasarkan maklumat orang awam, sepasukan anggota membuat intipan di sebuah rumah kosong dua tingkat yang dijadikan tempat penagihan sejak sebulan lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu, sebanyak 16 peket plastik berisi bahan serbuk dan ketulan dadah jenis heroin dijumpai di ruang tamu rumah terbabit.

Katanya, ketika serbuan, salah seorang suspek cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung namun gagal, menyebabkannya cedera ringan.

“Lima peket plastik lut sinar dan enam keratan tiub straw berisi serbuk dan bahan ketulan dadah jenis heroin turut ditemui semasa pemeriksaan fizikal terhadap ketiga-tiga suspek.

“Itu termasuk heroin yang disembunyikan di bahagian celah budur oleh salah seorang suspek yang merupakan salah satu taktik terbaru untuk menyembunyikan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah, dekat sini.

Mohd Zahid berkata, dalam ujian saringan awal yang dijalankan ke atas semua suspek, mereka didapati positif dadah jenis opiate dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Pulau Pinang kerana dua daripada suspek berasal dari negeri itu, manakala seorang lagi suspek berasal dari Felda Bukit Kepayang.

“Dengan jumlah rampasan dadah itu, ia boleh menampung antara 30 hingga 40 penagih dalam tempoh tiga hari kepada penagih biasa dan tegar.

“Nilai rampasan bernilai RM3,200 dan dijual dalam bentuk tiub straw yang boleh mencecah keuntungan dua kali ganda harga modal,” katanya.

Beliau berkata, dadah terbabit dipercayai dipasarkan di tiga tanah rancangan iaitu Felda Sebertak, Tementi dan Rentam.

Katanya, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau iaitu terlibat dalam kegiatan penagihan dadah lebih 10 tahun dan pernah beberapa kali ditangkap dan dihukum atas kesalahan dadah.

“Semua suspek ditahan reman sehingga 6 April ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39 B, 39 (A) 2, 12 (2) dan 15 (1) (a) ADB 1952,” katanya.

No comments:

Post a Comment