Search This Blog

Friday, April 15, 2011

Cubaan seludup barang tumpas



Ibrahim Mohamed (depan) memerhatikan penguat kuasa Maritim Malaysia memunggah barangan kawalan yang dirampas di Kuala Linggi, Alor Gajah, semalam.


ALOR GAJAH 14 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar barangan kawalan selepas menahan sebuah bot tukar barang di laut Kuala Kesang di sini, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Daerah 5 (Kuala Linggi), Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata, bot dari negara jiran itu ditahan pada pukul 1 petang semalam ketika sebuah bot laju Maritim Malaysia dinaiki sepasukan empat anggota menjalankan rondaan biasa kira-kira satu batu nautika dari Kuala Kesang.

"Hasil pemeriksaan ke dalam bot itu, kita merampas 31 tong gas masak seberat 14 kilogram setiap satu termasuk 98 bungkus gula pasir seberat 98 kilogram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3,500.

"Kesemua barang ini disorokkan di bawah timbunan tong plastik untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Tambahnya, turut ditahan tiga awak-awak lelaki warga Indonesia berumur antara 25 tahun hingga 62 tahun selain merampas bot tersebut yang dianggarkan bernilai RM44,500.

Menurut Ibrahim, ketika ditahan, bot tukar barang itu dipercayai baru keluar dari Jeti Tukar Barang, Sungai Rambai, Jasin dan dalam perjalanan menuju Bengkalis, Indonesia.

"Kita percaya, ini bukanlah kali pertama menggunakan modus operandi menyorokkan barangan seludup di bawah timbunan barang-barang lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan menyukarkan pemeriksaan.

"Kami akan terus melakukan pemantauan rapi terhadap semua bot-bot bagi memastikan aktiviti penyeludupan ini dapat dibanteras," tegasnya.

Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Utusan Malaysia Online - Selatan

No comments:

Post a Comment