Search This Blog

Friday, April 15, 2011

Bukan niat bunuh

SHAH ALAM: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, dia tidak berniat untuk menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, apabila melepaskan tembakan ke arah kereta dipandu remaja itu di Seksyen 11, di sini, April tahun lalu.
Koperal Jenain Subi, 48, dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam, sebaliknya berkata, tembakan itu bertujuan memberhentikan dan memeriksa Proton Iswara BET 5023 yang dilihat dipandu secara melulu, membabi buta dan berbahaya. Oleh itu katanya, sasaran tembakan ditujukan pada bahagian belakang bawah kenderaan itu. “Tidak ada niat (untuk sebabkan kematian Aminulrasyid). Kalau ada niat, mungkin cermin kereta dan badan orang itu ada banyak peluru. “Niat saya hanya untuk berhentikan kereta,” katanya menjawab soalan peguam bela, M Athimulan pada perbicaraan kesnya yang dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, jam 1.10 pagi, 26 April tahun lalu.

Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani dan Adilla Ahmad, manakala Jenain diwakili Athimulan dan Salim Bashir.

Jenain berkata, tindakannya melepaskan tembakan disebabkan beranggapan Proton Iswara itu baru terbabit dalam rompakan atau jenayah samun di luar kawasan rondaannya pada masa kejadian.


Menjawab soalan Athimulan, dia menyangkal pendapat dia berada dalam keadaan marah ketika melepaskan tembakan. “Saya tenang dan sabar (ketika melepaskan tembakan). Kalau hilang sabar mungkin (tembakan) banyak terbabas pada belakang badan kereta.

“Mungkin akan habis satu kelopak (yang mengandungi 25 peluru),” katanya. Menurutnya, sebagai anggota polis yang mendapat markah tinggi dalam beberapa siri ujian menembak, dia tahu jarak selamat untuk 50 kaki (kira-kira 15 meter) untuk melepaskan tembakan. “Saya tidak cuai. Saya jalankan tanggungjawab dengan ikhlas,” katanya. Meskipun mengakui tidak pernah menembak orang, Jenain berkata, menerusi latihan dia mengetahui polis boleh melepaskan tembakan dalam keadaan tertentu seperti diserang dengan parang atau untuk membalas tembakan. Pada prosiding sama, Jenain yang memakai kemeja lengan pendek dan berkopiah beberapa kali menyangkal keterangan rakan setugasnya, Konstabel Mohd Izham Mahayadin yang sebelum ini tampil sebagai saksi pendakwaan. Ini termasuk dakwaan Mohd Izham bahawa salah satu tayar kenderaan dipandu mangsa sudah kempis apabila keluar dari Bulatan Kayangan dan terhuyung-hayang serta tidak agresif apabila memasuki Jalan Tarian di Seksyen 11.

“Tiada. Itu bohong,” katanya. Dalam kejadian awal pagi itu, Jenain menaiki kereta peronda Sel 614 dan dipandu Konstabel Hafiz Moiz, di belakang kereta peronda Sel 589 dinaiki oleh Mohd Izham dan dipandu Koperal Azhar Hashim. Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung hari ini.
myMetro | Bukan niat bunuh

No comments:

Post a Comment