Search This Blog

Wednesday, April 13, 2011

Bomoh didakwa rogol pesakit



KLANG 12 April - Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan rogol dan dua tuduhan melakukan persetubuhan dengan memperdaya pesakit-pesakitnya, sejak tiga tahun lalu.
Meswan Tujut, 42, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya secara berasingan di hadapan Hakim Sharidah Awang dan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Dia didakwa merogol wanita berusia 21 tahun di sebuah rumah di Sungai Nibong, Sekinchan dekat sini pada pukul 8 malam, September tahun lalu.
Dia juga didakwa merogol dua mangsa lain, masing-masing berusia 13 dan 15 tahun di sebuah rumah di Sungai Udang, Klang di sini antara pukul 1 petang dan 3 petang, antara April dan Oktober 2008.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dia turut didakwa atas dua tuduhan melakukan persetubuhan atas dasar kepercayaan terhadap wanita berusia 22 tahun dengan memperdayakan mangsa bahawa dia seorang bomoh.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada pukul 8.10 malam, 8 Mac dan 15 Mac lalu di dua tempat iaitu di sebuah rumah di Sungai Nibong, Sekinchan dan sebuah rumah lagi di Sungai Udang.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(f) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh mungkin boleh menggugat keselamatan mangsa dan memperdaya wanita-wanita lain.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar dia dibenarkan jaminan.
Kedua-dua hakim tersebut tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Mei ini.

No comments:

Post a Comment