Search This Blog

Tuesday, April 26, 2011

Barangan pesanan hanya rekaan





SHAH ALAM 25 April – Seorang peniaga barangan elektrik warga India dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 3.9 kilogram ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua tahun lalu.
Hukuman ke atas Samad Mohamad Sulthan, 44, dijatuhkan oleh Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad selepas mendapati pembelaan tertuduh yang diwakili peguam V. Aravindhaksan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dan keterangannya tidak boleh dipercayai.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 9.35 malam, 25 Februari 2009 di Kaunter Pemeriksaan Kastam, KLIA.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Hakim itu dalam keputusannya berkata, tertuduh dalam pembelaannya menyatakan, dia mendapat pesanan daripada seorang peniaga di Malaysia yang hanya dikenali sebagai Jaafar untuk menghantar barangan dari India ke negara ini.
Tertuduh mendakwa meminta seorang lagi kenalannya yang hanya dipanggil Ismail mendapatkan barangan tersebut tetapi tidak berjaya.
Ekoran itu, menurut Samad, dia berhasrat membatalkan penerbangannya ke Malaysia tetapi mendakwa dihalang oleh Ismail yang memintanya meneruskan perjalanan ke negara ini untuk menghantar suatu barangan dengan upah RM500.
Tertuduh mendakwa pada 25 Februari 2009, dia berjumpa Ismail di Mumbai dan mengambil barangan yang dimaksudkan tanpa memeriksanya atas alasan percayakan lelaki itu.
Keterangan tertuduh itu disifatkan oleh hakim sebagai tidak logik kerana dia sanggup membeli tiket penerbangan tanpa mengetahui barangan dan kepada siapa ia akan diserahkan.
Justeru mahkamah berpendapat barangan pesanan Jaafar seperti yang didakwa tertuduh hanya rekaan semata-mata.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Khim dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

No comments:

Post a Comment