Search This Blog

Friday, April 29, 2011

Bakal pengantin menyesal



KUALA ROMPIN – Seorang tertuduh yang didakwa atas kesalahan memiliki dua jenis dadah merayu majistret supaya mengurangkan jumlah jaminan yang dikenakan ke atasnya dengan alasan mahu melangsungkan perkahwinan pada 14 Mei depan.

Tertuduh, Mohd Imran Samsu, 35, merayu kepada Majistret, Emma Shahrina Ali, supaya mengurangkan jumlah jaminan sebanyak RM9,000 sementara menunggu keputusan laporan kimia pada 25 Mei depan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya tunduk ketika mengakui kesalahannya itu dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu memandangkan dia akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Saya berjanji akan berkelakuan baik dan tidak sesekali mahu terjebak dengan gejala ini kerana ia bukan saja menjejaskan masa depan saya malah kepada keluarga jika sudah berkahwin kelak,” katanya di kandang tertuduh.

Tertuduh yang berasal dari Felda Sibul, Kulai, Johor dituduh memiliki paket plastik berisi bahan ketulan dan serbuk dengan berat kasar 4.8 gram yang mengandungi heroin pada jam 9 pagi di Jeti Kampung Salang Pulau Tioman, 20 April lalu.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998) Akta A 1025 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39 A (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan tidak kurang daripada dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga sebatan atau tidak lebih sembilan sebatan.

Manakala tuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam dan tarikh serta lokasi yang sama seperti tuduhan pertama dengan memiliki lima paket plastik lut sinar berisi bahan ketulan dan serbuk kristal dengan berat kasar 1.5 gram yang mengandungi methamphetamine.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah berbahaya 1952 (Pindaan 1998) Akta A 1025 dan boleh dihukum di bawah seksyen 12 (3) akta yang sama.

Tertuduh boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Inspektor Ridhwan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Emma Sharina dalam keputusannya menetapkan tertuduh perlu membayar RM3,500 sebagai jaminan bagi tuduhan pertama sementara RM2,500 sebagai jaminan kedua.

Beliau kemudiannya menetapkan 25 Mei depan bagi mendengar semula kes tersebut.

No comments:

Post a Comment