Search This Blog

Thursday, April 21, 2011

Askar Indonesia bunuh pemungut hutang



JAKARTA 20 April - Sekumpulan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) didakwa telah melakukan penganiayaan dan membunuh seorang pemungut hutang di Depok di sini Isnin lalu.
Mangsa Helmy Yohanes Manuputi yang bekerja dengan syarikat kewangan PT Sinar Mitra Sepadan dilaporkan telah diseret keluar oleh anggota TNI tersebut dari pejabatnya,
Mangsa didakwa kemudiannya telah diseksa dengan kejam dan dibunuh.
Helmy sebelum itu ditugaskan oleh majikannya untuk menuntut tunggakan bayaran kereta selama dua bulan yang belum dijelaskan oleh seorang daripada anggota TNI itu.
Menurut seorang saksi, Helmy dikerumuni oleh 100 anggota TNI yang berpakaian preman yang menyerbu pejabat mangsa di Margonda dan seterusnya melarikan dia dan tiga lagi rakannya A.T, Aldo dan Viel ke suatu tempat.
Menurut The Jakarta Post, A.T dilaporkan berkata, dia sempat melarikan diri sementara yang lain masih berada dalam kawalan kumpulan anggota yang menyerang mereka.
Semasa dalam tahanan di Cilodong, Helmy dilaporkan akhbar berkenaan diseksa sebelum ia ditinggalkan di Cililitan, Jakarta Selatan.
Sebaik bebas daripada tahanan itu, Helmy pulang ke rumahnya dengan menunggang motosikal sebelum dikejarkan ke hospital.
Menurut ibu Helmy, Ena Manuputi, dia terkejut melihat tubuh anaknya itu yang terdapat banyak kesan luka yang serius selain lebam-lebam sebaik dia sampai di rumah.
Kata Ena, penderaan terhadap anaknya itu sangat melampau kerana Helmy bukan saja diikat kaki dan tangan, bahkan telinganya dipotong selain badan-badannya mengalami lebam-lebam.
"Lengannya dipukul menggunakan besi. Telinga kirinya pula tinggal sebelah kerana dipotong. Kakinya juga ada bekas luka," ujar Ena dalam tangisan.
Sementara itu , peguam keluarga Helmy, Abdul Fatah Pasolo berkata, pihaknya akan mengemukakan aduan berhubung kematian Helmy ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (HAM).
"Kami mendapati kematian ini dilakukan oleh anggota TNI dan kami memohon kerjasama daripada HAM untuk membantu menyiasat kes ini. Kami tidak berdiam diri seandainya saudara-mara kami dianiaya seperti ini," kata Abdul Fatah.
Laporan penganiayaan terhadap Helmy seorang pemungut hutang dan rakan-rakannya oleh anggota keselamatan mendapat liputan meluas media tempatan.
Helmy yang berusia 34 tahun dan berasal dari Ambon meninggal dunia di Rumah Sakit Universitas Kristen Indonesia, Cawang, Jakarta Timur semalam, meninggalkan seorang isteri, Theresia Wattimuri, 33, dan seorang anak perempuan, Bianca. - Utusan
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment